Kedah Tetap Teruskan Tuntutan Caj Air Mentah Dari Pulau Pinang - Exco

Exco Kedah, Datuk Badrol Hisham Hashim
ALOR SETAR - Hasrat kerajaan negeri Kedah untuk mengenakan caj terhadap bekalan air mentah kepada Pulau Pinang yang diperoleh menerusi Sungai Muda tidak pernah berkubur dan akan tetap diteruskan.

Exco Kedah, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, rundingan dengan kerajaan negeri Pulau Pinang mengenai perkara itu akan bermula selepas kajian mengenai beberapa perkara selesai diadakan.
   
"Cadangan itu mempunyai asas yang kukuh dan tidak pernah terkubur," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, walaupun cadangan itu mendapat bantahan daripada kerajaan negeri Pulau Pinang, namun ia tetap akan diteruskan bagi memelihara kepentingan rakyat Kedah.
  
Katanya, dianggarkan Kedah bakal mengutip beberapa juta ringgit sekiranya cadangan tersebut dipersetujui Pulau Pinang.

Cadangan untuk mengenakan caj sebanyak RM20 juta setahun dibuat sebelum PRU13 ketika Kedah diperintah pembangkang yang diketuai Pas.
  
Antara alasan yang dikemukan ialah untuk Kedah menampung kos penyelenggaraan sungai dan kawasan tadahan hujan di kawasan Empangan Pedu yang membekalkan air ke Sungai Muda.
  
Sebelum ini Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilaporkan sebagai berkata, Kedah mempunyai asas untuk mengenakan caj tersebut dan meminta Ketua Menteri Pulau Pinang bersikap terbuka mengenainya.
   
Sementara Guan Eng pula berkata air yang diambil oleh syarikat bekalan air Pulau Pinang itu adalah daripada sungai di sebelah negeri itu dan bukan daripada Kedah. - Bernama