Kegiatan Curi Meter Air Makin Menjadi-Jadi Di Kulim

Gambar Hiasan
KULIM – Penduduk di beberapa taman perumahan di sini kini resah dengan kejadian mencuri meter air yang semakin berleluasa.

Ia dikatakan berlaku sejak awal tahun ini dan semakin bertambah sejak bulan lalu hingga sekarang.

Antara kawasan perumahan yang terlibat ialah Taman Kenari, Taman Kota Kenari dan Pusat Perdagangan Putra.

Sebuah pertubuhan sukarela KL Team dikatakan pernah menangkap beberapa individu yang didapati mencuri meter air.

Ketuanya Teoh Hee Thiam memberitahu pihaknya pernah menyerahkan beberapa orang remaja bersama barang yang dicuri mereka kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Abdullah Arshad berkata pihaknya menerima banyak aduan berhubung kejadian berpuluh-puluh meter air yang hilang di premis perniagaan dan kediaman.

Beliau percaya terdapat peniaga yang membeli barangan tersebut termasuk kabel elektrik yang dicuri.

Meter air itu dipercayai milik Syarikat Darulaman Berhad (SADA) yang membekalkan air kepada penduduk dan meminta syarikat tersebut agar segera membuat laporan mengenai kehilangan meter air mereka, katanya. – BERNAMA