MD. JAMIL SAMAD (kanan) bersama beberapa penduduk menunjukkan lokasi penemuan mayat bayi perempuan di kawasan kebun kelapa sawit di Felda Palong Dua, Jempol. |
Sangat menyayat hati melihat sekujur tubuh bayi yang sihat namun ditemui tidak bernyawa terbungkus di dalam plastik hitam di sebuah kebun kelapa sawit yang mencetus kemarahan ramai baru-baru ini.
Mayat bayi yang masih bertali pusat itu ditemukan dalam keadaan yang sangat menyedihkan apabila mulutnya diikat menggunakan plastik sebelum seluruh tubuhnya dibalut menggunakan kain batik.
Menurut laporan media, mayat seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan dibuang di kebun berkenaan yang terletak di Felda Palong Dua ditemui oleh seorang penternak lembu, Md Jamil Samad, pada Rabu lalu.
“Ketika tiba di kebun pada pukul 1.30 petang semalam, saya lihat kesemua lembu sedang mengerumuni sesuatu.
“Apabila pergi ke arah kumpulan lembu berkenaan, saya ternampak ada plastik sampah berwarna hitam yang diikat menggunakan tali dengan objek seperti tangan kanan bayi terkeluar darinya.
“Saya segera menghubungi imam masjid dan memintanya ke lokasi sebelum seorang lagi penduduk menghubungi pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Md. Jamil lagi, pihak berkuasa yang tiba beberapa minit kemudian dan mengesahkan terdapat mayat bayi perempuan di dalam plastik berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintenden Hamzah Alias berkata, bayi perempuan seberat empat kilogram (kg) berkenaan dipercayai dilahirkan kurang dari 12 jam sebelum mayatnya ditemukan.
“Mayat berkenaan ditinggalkan di dalam kebun kelapa sawit dengan jarak 400 meter dari jalan kampung Felda Palong Dua.
“Ketika ditemukan tiada sebarang kecederaan pada bayi, masih mempunyai tali pusat dan tiada uri di jumpai,” katanya.
Jelas Hamzah, mayat bayi malang yang tidak berdosa itu kemudianna telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar untuk siasatan lanjut dan operasi mengesan ibu bayi berkenaan sedang giat dijalankan.
Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
Kami mengharapkan agar pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan keras terhadap pihak yang "membunuh" bayi perempuan itu, setimpal dengan dosanya sesuka meragut nyawa bayi berkenaan dan bersikap seperti masyarakat Arab jahiliyah dulu. -Kedahnews.com