Kereta Norazlina yang tersangkut terpaksa ditolak untuk meneruskan perjalanan ke kediamannya. |
KARANGAN (Kulim - Bandar Baharu) - Sudah tiada pilihan lain, sebuah keluarga yang tinggal di kawasan pedalaman memohon laluan keluar masuk mereka diturap untuk kelangsungan hidup.
Norazlina Zainuddin, 30, berkata, ibu bapa serta seorang adik perempuannya telah empat tahun menetap di Kampung Simpang Tiga Pokok Gelugur, Sedim, dekat sini dan pernah memohon bantuan untuk mendapatkan jalan berturap namun sehingga kini tiada sebarang tindakan.
Menurutnya, denai tanah merah sepanjang kira-kira satu kilometer itu adalah jalan utama digunakan mereka untuk ke kawasan kampung sekitar dan kediaman penduduk lain.
“Dulu kami duduk menumpang di tanah orang, namun sebab tak mahu susahkan orang lain, ayah buat keputusan bina rumah di tanah ini. Memang jauh di pedalaman dan dikelilingi kebun getah, hanya rumah kami saja sebuah.
“Kami pun kalau ada tanah lain memang tak mahu buat rumah di sini, tapi terpaksa lah. Yang jadi masalahnya sekarang jalan yang kami terpaksa lalu itu membahayakan. Hanya denai tanah merah," katanya.
Norazlina berkata, sekiranya hujan, jalan berkenaan licin dan membahayakan keselamatan mereka.
"Pernah beberapa kali ayah jatuh tergolek dengan motosikal, kereta pula akan tersangkut terpaksa panggil orang kampung tolong tolak,” katanya.
Tambahnya, keadaan ibunya yang kurang sihat juga menggusarkannya apabila memikirkan keadaan jalan tersebut.
“Saya tinggal di Kulim bersama suami, saya memang risau dan bimbang apabila memikirkan keselamatan ibu bapa dan adik saya. Kalau jadi apa-apa siapa yang sanggup nak masuk tolong dengan keadaan jalan seperti itu,” katanya.
Manakala ibunya, Siti Khadijah Ali, 58, berkata, pernah dia dan suami serta anaknya Nor Iliyana terpaksa makan nasi tidak berlauk kerana tidak dapat keluar untuk mendapatkan bahan makanan kerana jalan licin akibat hujan berlarutan.
“Kadangkala hujan sampai seminggu, nak keluar pun tak boleh. Kami makan apa yang ada saja lah. Saya juga terfikir kalau apa-apa jadi pada saya atau suami, bagaimana nak pergi dapatkan bantuan, orang nak datang ke rumah pun mesti ambil masa.
“Nak buat kenduri pun susah, sebelum ini ada kami buat tapi ramai yang memberitahu takut nak lalu jalan itu, ada sehingga terjatuh dan cedera akibat jalan tak rata.
“Saya harap sangat pihak bertanggungjawab dapat bantu selesaikan masalah kami, kami tak mampu hanya bergantung kepada hasil menoreh getah saja,” katanya.
Sumber: Sinar Harian