Keluarga Shahidan Sahkan Mayat Ditemui Dalam Keadaan Sempurna

Che Embun (kiri) menunjukkan kepada Muhammad Afiq baju ayahnya ketika berusia 20-an, semalam.
KUBANG PASU – Mayat mangsa tragedi kren jatuh di Masjidil Haram, Makkah, Shahidan Saad, 52, ditemui dalam keadaan sempurna.

Perkara itu disahkan oleh adik mangsa, Nazimah Saad, 48, selepas menerima perkhabaran mengenai penemuan jenazah Shahidan oleh adiknya, Zulhakimi Saad, 37, yang berada di Makkah untuk ujian DNA.

Nazimah berkata, dia dimaklumkan mengenai penemuan itu melalui aplikasi WhatsApp oleh adiknya kira-kira jam 6 pagi, semalam.

Menurutnya, mereka sekeluarga reda dengan kejadian itu meskipun kehilangan abang yang amat disayangi.

Sementara itu, ibu mangsa, Che Embun Puteh, 74, bersyukur kerana anak ketiga daripada sembilan beradik itu berjaya ditemui.

“Ibu mana yang tidak bimbang tentang keadaan anaknya, lebih-lebih lagi apabila dikhabarkan hilang.

“Sepanjang menanti khabar mengenai Shahidan, saya menghabiskan masa berdoa dan membaca al-Quran setiap hari,” katanya.

Che Embun berkata, lebih menyedihkan apabila anak tunggal Shahidan, Muhammad Afiq Amzar, 3, masih belum dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Buat masa ini Afiq masih menganggap ayahnya berada di masjid untuk bersolat dan kami masih merahsiakan tentang kejadian itu,” katanya.

Sumber: Sinar Harian