Kerajaan Kedah Mahu Bantuan Thailand Sekat Anjing Liar


KUALA NERANG - Kerajaan negeri menimbang untuk meminta kerjasama daripada pihak Thailand bagi membendung kemasukkan anjing liar daripada negara itu menerusi kawasan sempadan kedua-dua negara.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata dilaporkan terdapat anjing daripada negara itu yang memasuki negeri ini dan begitu juga sebaliknya.

"Jika perlu, kita akan meminta kerjasama Thailand dan mengadakan perbincangan mengenainya," katanya kepada pemberita.

Mengenai wabak anjing gila di Kedah, beliau berkata pihak berkuasa tempatan telah diarah untuk menanganinya dengan lebih agresif termasuk memastikan pemilik anjing memiliki lesen untuk memelihara haiwan itu.

Sehingga Ahad lalu, Jabatan Kesihatan Negeri mencatat 18 kes gigitan dengan dua daripadanya melibatkan anjing gila. - Bernama