Kerajaan Negeri Selangor Bakal Penuhi Kemahuan Dong Zong?

Gambar Hiasan - Para pemimpin Dong Zong
KUALA LUMPUR – Gagal di peringkat Kerajaan Pusat, Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) beralih arah untuk berbincang dengan Kerajaan Selangor bagi membincangkan tentang `Unified Examination Certificate’ (UEC).

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perjumpaan itu dihadiri beliau dan Pengerusi Dong Zong, Temenggong Lau Lee Ming.

“Kerajaan Selangor telah mengadakan satu pertemuan dengan pihak Dong Zong bagi membincangkan perihal UEC di peringkat negeri Selangor.

“Perjumpaan ini turut dihadiri wakil UNISEL, KUIS dan INPENS,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Nik Nazmi Nik Ahmad
Pengumuman oleh kerajaan Selangor itu bagaimanapun menimbulkan keresahan sebilangan pihak kerana dikhuatiri bakal memenuhi desakan Dong Zong sejak tiga dulu supaya UEC diiktiraf di Malaysia.

Kerajaan Persekutuan sebelum ini memaklumkan Kementerian Pendidikan telah menyarankan sukatan pelajaran UEC dipinda agar selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Bagaimanapun, Dong Zong tidak bersetuju dengan saranan itu menyebabkan UEC tidak dapat diiktiraf di Malaysia.

Dong Zong mendesak supaya kerajaan mengiktiraf UEC sebagai kelayakan untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sejak tiga dekad lalu.

Silibus UEC dibahagikan kepada tiga tahap iaitu Menengah Rendah atau Junior Middle (UEC-JML), Vokasional (UEC-V), Menengah Tinggi atau Senior Middle (UEC-SML) yang kesemuanya menggunakan bahasa Mandarin.

Langkah ‘menghalalkan’ sijil UEC sebagai ‘tiket’ masuk ke universiti tempatan dikhuatiri akan mendatangkan impak jangka panjang kepada perpaduan rakyat Malaysia kerana pelajarnya dilahirkan mengikut acuan Cina dan Taiwan berdasarkan kurikulum yang diajar sekali gus bercanggah dengan Falsafah Pendidikan Negara.