Kerajaan Saudi Akan Tambah Kuota Haji Malaysia Kembali 30,000 Jemaah

Gambar Hiasan
RIYADH – Di sebalik tragedi kren tumbang di Masjidil Haram petang Jumaat minggu lalu yang meragut lebih 100 nyawa dan ratusan jemaah lain cedera, ada juga khabar gembira serta pasti disambut dengan penuh kesyukuran.

Mulai tahun depan, jumlah kuota jemaah haji yang akan diluluskan kerajaan Arab Saudi bakal dinaikkan kepada lima juta orang dan dijangka bertambah kepada 30 juta jemaah haji dalam masa lima tahun lagi iaitu pada 2020.

Ini bermakna penetapan kuota haji pada musim tahun ini kata Menteri Haji Arab Saudi, Bandar Hajjar, adalah yang terakhir sebelum jumlah tersebut ditambah dua kali ganda lagi secara berperingkat-peringkat mulai 2016.

Menurut laporan akhbar tempatan, Arab News, pertambahan itu susulan projek perluasan kawasan Masjidil Haram di Makkah yang dijangka dapat diselesaikan selepas tamat musim haji ini atau sekitar awal tahun depan.

Projek pembesaran tersebut sebenarnya sudahpun 80 peratus siap, sekali gus akan menambah jumlah kapasiti maksimum jemaah yang boleh melakukan tawaf pada satu-satu masa kepada 100,000 orang dalam setiap jam.

Akhbar berkenaan turut melaporkan, Bandar sebagai berkata, pihaknya menyasarkan jumlah jemaah haji yang boleh ditampung naik kepada 30 juta orang dalam masa lima tahun lagi iaitu menjelang tahun 2020 kelak.

Proses pengaturan ketibaan jemaah haji dari serata dunia itu menurut menteri tersebut, kini lebih lancar dan ada koordinasi lebih baik dengan agensi hal ehwal haji semua negara menerusi kaedah sistem elektonik E-Haj.

Pada musim kali ini, hanya 2.1 juta jemaah haji dari seluruh dunia dibenarkan untuk mengerjakan ibadah Rukun Islam yang kelima itu susulan pelaksanaan ketat pengurangan kuota yang diperkenalkan sejak tahun 2013 lalu.

Setahun sebelum kuota diturunkan, jumlah jemaah haji pada tahun 2012 mencecah rekod tertinggi dalam sejarah iaitu 3.2 juta orang dan ia termasuk 1.4 juta jemaah tempatan atau warga asing yang menetap di bumi Arab Saudi.

Jumlah tersebut naik 2,824 peratus berbanding jumlah jemaah haji pada 1920 hanya 59,000 orang, iaitu tahun pertama apabila kerajaan Arab Saudi mula merekodkan pendaftaran bilangan jemaah secara lebih sistematik.


Kuota jemaah mula dilaksanakan pada 2010 hasil inisiatif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berpusat di Jeddah dengan semua negara berdasarkan nisbah 0.1 peratus daripada jumlah penduduk Islam di negara berkenaan.

Ini bermakna Indonesia sebagai negara paling ramai umat Islam di dunia boleh menghantar 196,000 jemaah diikuti Pakistan (95,000) dan Mesir (75,000) manakala negara-negara lain pula jauh lebih rendah angkanya.

Singapura contohnya hanya dibenarkan menghantar 680 orang sahaja jemaah haji kerana bilangan penduduk Islam di republik pulau kecil itu amat sedikit, sekali gus ramai terpaksa menunggu giliran yang terlalu lama.

Peraturan itu namun tidak tertakluk kepada Malaysia hasil hubungan diplomatik cukup erat kerajaan negara berkenaan dengan Arab Saudi dan menikmati nisbah 0.1 peratus daripada jumlah penduduk keseluruhannya.

Bagaimanapun ekoran projek mega perluasan ruang kompleks masjid yang terbesar di dunia itu sejak 2013, kuota jemaah haji Malaysia sepatutnya 30,000 orang terpaksa dikurangkan sedikit kepada hanya 22,320 orang sahaja.

Pertambahan semula kuota dijangka mampu memendekkan tempoh tunggu giliran apabila ada yang dilaporkan terpaksa menanti lebih 50 tahun sebelum berpeluang menunaikan ibadah haji. – Agensi