IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta golongan muda menganggap kerajaan Barisan Nasional yang memerintah negara ketika ini sebagai Rakan Gen Y.
Beliau berkata ini kerana kerajaan memahami, mengiktiraf dan akan melakukan yang terbaik untuk Gen Y di seluruh negara.
“Realitinya ialah, kalau kita hendak menentukan masa depan negara kita, maka kita perlu melakukan apa sahaja yang perlu hari ini untuk membentuk Gen Y kita supaya mereka dapat memperlihatkan jati diri yang kukuh, yang ada nilai-nilai murni dan mempunyai keupayaan untuk bersaing dan membawa negara kita ke arah kejayaan yang lebih unggul dan hebat lagi.
“Saya tidak terima bila orang kata Gen Y ni secara semula jadi bersikap antikerajaan… sebaliknya belia mempunyai potensi dan kita mesti bangunkan potensi mereka kerana inilah asas tapak untuk Malaysia yang lebih gemilang pada masa akan datang,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan ‘Silver Youth Fest’ anjuran kerajaan negeri Perak bersempena Program Tahunan Isteri Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2015 di Taman DR Seenivasagam di sini hari ini.
Najib berkata, Gen Y mempunyai dua elemen penting iaitu tenaga dan dinamisme yang perlu diiktiraf dan dibawa ke saluran betul agar mereka boleh menjadi generasi yang produktif dan menyumbang ke arah kejayaan negara.
“Sehubungan ini, saya setuju bahawa pendekatan konvensional tidak boleh dilakukan dan tidak boleh diterima oleh Gen Y dan generasi muda.
“Kalau kita bercakap, ibarat kata orang putih, ‘talking down to the youth’ (dengan cara meninggikan diri) sudah tentu mereka akan menolak pendapat dan pandangan kita sebaliknya kita mesti menyelami denyut nadi, isi hati, pemikiran, cita rasa dan aspirasi Gen Y sebagai cara kita memahami dan menghayatinya, maka kita boleh menggubal dasar dan program yang sesuai dengan cita rasa Gen Y.
“Inilah pendekatan yang harus dilakukan dan nampaknya kerajaan negeri Perak di bawah pimpinan Datuk Seri Zambry (Abdul Kadir) sudahpun faham,” katanya.
Beliau berkata, sehubungan itu, semua pihak perlu menggunakan platform seperti program Silver Youth Fest bagi memperlihatkan bahawa kerajaan pada masa ini berhasrat membangunkan para belia sesuai dengan hati nurani serta cita rasa mereka dan bukan mengikut kehendak kita.
Pada majlis itu, Perdana Menteri mengumumkan bahawa ‘youth city’ atau bandar belia akan diwujudkan di Tanjung Malim.
“Hari ini saya nak umumkan bahawa salah satu projek perintis yang kita nak buat untuk negara kita ialah untuk mewujudkan ‘youth city’ dan salah satu daripada ‘youth city’ yang pertama kita nak buat ialah di Tanjung Malim di mana segala perancangannya kita khususkan kepada keperluan Gen Y kita dari segi peluang pekerjaan, dari segi rekreasi, dari segi rumah berapa bilik dan sebagainya.
“Youth city ini adalah cerminan bahawa kerajaan yang ada pada hari ini memahami, menghayati dan mahu melakukan yang terbaik untuk Gen Y,” katanya sambil menambah idea untuk melibatkan generasi muda dalam program hari ini adalah cadangan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Terdahulu, Perdana Menteri menyertai kira-kira 1,000 orang melakukan kayuhan basikal sejauh satu kilometer.
Mereka dilepaskan Rosmah, yang merupakan Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI), pada 10.10 pagi. – BERNAMA