KUANTAN – Seorang penganggur yang membunuh bekas penyelianya Februari tahun lepas hanya disebabkan ‘geram lama’ kerana dibuang kerja, menerima balasan apabila dijatuhi hukuman penjara 17 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman memerintahkan tertuduh Wan Nazari Mohamed, 28, menjalani hukuman tersebut dari tarikh tertuduh ditahan pada 8 Feb tahun lepas.
Tertuduh yang kelihatan tenang ketika hukuman dibaca, sebelum itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan menyebabkan kematian Md Saipul Mizan Ibrahim, 34, di sebuah kilang di Gebeng, Beserah di sini pukul 2.20 pagi 8 Feb tahun lepas.
Dia dihukum mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Mengikut fakta kes, tertuduh sebelum itu yang bekerja di kilang yang sama dengan si mati, digantung kerja pada 11 Nov 2013, telah menghubungi rakan sekerjanya pada pukul 2 pagi dalam keadaan menangis supaya mengambilnya di tempat papan tanda Pantai Teluk Mok Nik.
Setelah masuk ke dalam kereta rakannya, tertuduh berulang kali mengucap dan memberitahu bahawa dia telah menikam mangsa menggunakan pisau kerana ‘geram lama’ ekoran mangsa telah menyebabkannya dibuang kerja dari syarikat.
Mangsa sebelum itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh pengawal keselamatan di kawasan kilang itu dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan sebelum disahkan meninggal dunia.
Keterangan pakar bedah forensik mendapati mangsa meninggal dunia akibat luka tikaman pada bahagian dada, selain terdapat beberapa kesan tikaman lain termasuk di perut, pipi, dahi serta beberapa kesan luka di leher pada badan mangsa.
Tertuduh yang diwakili peguam bela Syed Aziman Amir Syed Abu Bakar dan Zahaman Zainal Abidin dalam hujah pembelaan selepas itu meminta pihak mahkamah memberikan hukuman ringan memandangkan tertuduh perlu menyara seorang isteri dan empat orang anak yang berumur dua hingga enam tahun.
Selain itu, ia juga kesalahan pertama tertuduh dan perbuatan itu amat dikesali. Ia dibuktikan oleh tertuduh dengan berkelakuan baik sepanjang menjalani hukuman penjara sejak ditahan.
Bagaimanapun Hakim Ab Karim dalam penghakimannya berkata, kepentingan awam mengatasi segalanya terutama apabila ia melibatkan kesalahan membunuh dan mencederakan orang lain.
“Sekarang banyak kes bunuh berlaku di negara ini sama ada dengan niat mahupun tanpa niat. Menggunakan pisau sehingga menyebabkan kematian mangsa hanya kerana marah dibuang kerja bukan alasan untuk melakukan perbuatan itu.
“Mematikan orang merupakan satu kesalahan serius yang dipandang berat oleh bukan sahaja mahkamah tetapi juga orang ramai kerana nyawa tidak ternilai dan hukuman yang dijatuhkan ini adalah untuk beri pengajaran kepada orang ramai,” katanya.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hidayatul Syuhada Shamsudin dan Nor Azizah Mohamad. – BERNAMA