Kerang Sungai Geting Belum Selamat Dimakan, Bimbang Dicemari "Ombak Merah"


TUMPAT – Orang ramai dinasihat agar tidak memakan kerang yang diperoleh dari Sungai Geting di sini kerana dikhuatiri masih tercemar akibat fenemana alga atau ‘ombak merah’.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata penjualannya juga dilarang sehingga mendapat pengesahan daripada Jabatan Perikanan Kelantan berhubung kandungan toksin air sungai berkenaan.

“Jika termakan toksin berkenaan, ia boleh menyebabkan keracunan,” katanya ketika meninjau sungai berkenaan hari ini yang turut disertai Pengarah Perikanan Mat Zin Saad.

Beliau berkata kerang dari sungai lain adalah selamat untuk dimakan.

Notis larangan sudah dikeluarkan di premis penjualan hasilan laut, sungai serta pangkalan sungai, katanya. – BERNAMA