Kes Bunuh Kevin Morais: 6 Didakwa Membunuh, 2 Bersubahat


KUALA LUMPUR – Enam lelaki didakwa di mahkamah atas pertuduhan membunuh Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais manakala dua lagi, termasuk doktor tentera, dituduh bersubahat melakukan kesalahan itu, Isnin.

Tujuh daripada mereka didakwa di Mahkamah Majistret di sini manakala seorang lagi di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Di kandang tertuduh ialah G. Gunasekaran, 47, R.Dinishwaran, 23, A. Thinesh Kumar, 22, M. Vishwanath, 25, S. Nimalan, 22, dan S. Ravi Chandaran, 44, yang didakwa bersama-sama membunuh Kevin, 55, dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya, Sentul, di sini ke No 1, Jalan USJ 1/6D Subang Jaya, Selangor.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 7 pagi hingga 8 malam, 4 Sept lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Pertuduhan itu membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Dr Kolonel K Kunaseegaran, 52, pula didakwa bersubahat dengan enam lelaki itu mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama seksyen 302 kanun sama, yang turut membawa hukuman mati mandatori.

Kesemua mereka didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dan tiada sebarang pengakuan direkodkan setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Barisan pendakwaan yang dianggotai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Razak Musa, Manoj Kurup dan Ahmad Dusuki Mokhtar memberitahu mahkamah bahawa mereka memerlukan dua bulan untuk mendapatkan laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Majistret Siti Radziah Kamardin kemudiannya menetapkan 30 Nov ini untuk sebutan kes.

Peguam M. Manoharan mewakili Dinishwaran manakala Datuk N. Sivananthan dan Datuk Geethan Ram Vincent mewakili Kunaseegaran. Tertuduh lain tidak diwakili. – BERNAMA