Khalid Samad Mengaku Sudah Bersumpah Janji Atas Nama Allah, Tapi...

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mengaku bahawa meskipun telah berjanji dan bersumpah di atas nama Allah untuk tidak akan keluar dari PAS, namun beliau dan rakan-rakannya terpaksa bertindak keluar juga dari parti berkenaan.

Katanya, beliau dan rakan-rakan berbuat demikian adalah disebabkan PAS yang dilihat telah berubah haluan. 

"Memang kita sudah bersumpah, berjanji atas nama Allah bahawa kita tak akan lari daripada parti. Itu kita tak nafi, itu fakta. Tetapi masalahnya parti dah berubah haluannya," kata Khalid dalam satu temubual bersama media, baru-baru ini.

Kata Khalid, beliau telah diundi oleh rakyat sama ada dari penyokong PAS dan Pakatan Rakyat pada pilihanraya yang lalu, namun tanggungjawab kepada para pengundinya itu tidak dapat dilaksanakan lagi jika beliau terus bersama PAS. 

"Bagi diri saya, saya diundi oleh orang yang menyokong perjuangan Islam dan orang yang menyokong Pakatan Rakyat. Lalu untuk memenuhi tanggungjawab kepada dua-dua kelompok ini, maka saya tak boleh lakukan melalui PAS," jelasnya lagi.

Bercakap berhubung isu melanggar sumpah bai'ah yang hangat diperkatakan, Khalid mendakwa isu berkenaan lebih banyak "mencederakan" PAS berbanding beliau dan rakan-rakannya yang menubuhkan parti baru, Parti Amanah Negara (Amanah).

Katanya, isu bai'ah berkenaan sengaja dicetuskan bagi menjejaskan imej para pemimpin Amanah, namun beliau berpendapat bahawa tindakan tersebut sebaliknya telah "memakan diri" PAS.

"Ia sepatutnya isu dalaman, tak perlu dihebohkan. Tapi dalam keadaan mungkin kerana marah terhadap Ahli Parlimen dan Adun yang meninggalkan PAS dan bersama dengan Amanah, maka nak jatuhkan imej kami yang keluar, persoalan bai'ah dan langgar bai'ah ini dimainkan.

"Tetapi sebenarnya saya merasakan bahawa ianya mencederakan PAS lebih teruk berbanding kami," katanya lagi.

Khalid merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa penaja Amanah, sebuah parti baru yang menimbulkan kontroversi dan dikatakan telah memecah-belahkan PAS dari dalam kerana tidak setia pada kepimpinan PAS yang baru selain mencabar kedudukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada pemilihan parti itu yang lalu.

Amanah  yang diketuai oleh bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, disambut baik oleh DAP dan PKR yang difahamkan sedang dalam perbincangan serius untuk menubuhkan pakatan yang baru tanpa PAS setelah Pakatan Rakyat disahkan terkubur sebelum ini. -Kedahnews.com