Khutbah Terakhir Rasulullah: Hayati "Ruh Haji" Menjelang Wukuf Di Arafah


ALHAMDULILLAH, segala puji kepada Allah. Syukurlah di sebalik ujian yang menimpa jemaah haji seperti ribut pasir, kren tumbang dan kebakaran hotel, kerajaan Malaysia berjaya mendapat kuota tambahan untuk rakyat negara ini menunaikan ibadah haji. 

Dengan ihsan kerajaan Arab Saudi yang sudah pasti didorong hubungan baik pemimpin Malaysia – Arab Saudi, 2,100 jemaah tidak lagi ternanti-nanti giliran untuk menunaikan haji. 

Syukur juga kerana boleh dikatakan pada tahun ini, tidak ada cerita besar jemaah terkandas kerana visa atau penerbangan. Adalah sedikit masalah yang ak­hirnya dapat diselesaikan dengan baik walaupun pada saat-saat akhir. 

Penerbangan terakhir jemaah Malaysia (KT69) berlepas tengah hari semalam dengan kerjasama Malaysia Airlines Berhad. Pesawat jenis Airbus A380 dengan muatan 489 penumpang berlepas dari KLIA, kali pertama penerbangan jenis itu digunakan TH untuk operasi haji. 

Sebelum ini, tiga penerbangan serta beberapa penerbangan komersil selamat terbang sehingga 17 September dengan jumlah 1,612 orang (kuota tambahan).

Kuota asal jemaah haji muassasah seramai 22,320 orang telah berada di Tanah Suci. Walaupun men­­dapat pengesahan pada saat-saat akhir menjelang hari bertolak ke Arafah Selasa ini untuk wukuf pada 9 Zulhijah (23 September), pe­­luang untuk menunaikan haji disambut dengan penuh kesyukuran. 

Tidak ada jemaah yang akan menolak jika mendapat tawaran singkat. Setiap daripada kita yang sudah berazam untuk ke Mekah sudah tentu dalam keadaan siap sedia untuk ‘terbang’ pada bila-bila masa. Apa yang pen­ting, dapat menjejakkan kaki di bumi Mekah menjelang wukuf. 

Beberapa hari lalu, beberapa orang sahabat penulis ter­­paksa mengambil penerbangan melalui KLIA-Singapura. Mungkin sukar tetapi bagi mereka, ia cukup melegakan kerana seruan untuk ke sana sudah tiba. 

Pada masa yang sama, kita mendoakan yang terbaik agar usaha mencari dua jemaah haji Malaysia – Shahidan Saad dan Abdul Habib Lahman – yang dilaporkan hilang dalam tragedi kren tumbang di Masjidilharam pada 11 September lepas berhasil. 

Tabung Haji (TH) tidak akan berputus asa untuk mencari jemaah yang hilang sementara menunggu keputusan ujian DNA dua keluarga jemaah berkenaan. Keputusannya akan diketahui dalam tempoh dua hingga tiga minggu.


Minggu ini adalah kemuncak ibadah haji apabila jemaah yang dianggarkan tiga juta orang dari seluruh dunia akan bergerak ke Arafah. Wukuf di Arafah adalah rukun haji yang kedua tetapi yang utama dari rukun-rukun haji itu. Haji itu adalah Arafah.

 Pada ketika ini, kita mengharapkan jemaah seluruh dunia khususnya dari Malaysia dalam keadaan sihat serta bersiap sedia untuk ke Arafah, sebuah kawasan yang terletak di luar tanah haram, kira-kira 21 kilometer dari kota suci Makkah. 

Setelah berihram (bagi mengerjakan haji Tamattuk), pada 8 atau 9 Zulhijah, jemaah akan berangkat ke Arafah. Masa yang wajib berada atau berwukuf di Arafah ialah pada awal waktu Zuhur 9 Zulhijah hingga sebelum fajar pada hari Nahar, iaitu 10 Zulhijah. Masa yang sebaik-baiknya ialah sebahagian hari kesembilan dan sebahagian malam kesepuluh.
Banyak kelebihan pada Hari Arafah. 

Di sini digalakkan kita membaca al-Quran, berwirid, berzikir, solat sunat dan berdoa. Inilah hari pertemuan dan perjumpaan besar antara hamba yang merdeka dan Tuhannya yang Maha Menerima Taubat lagi Maha Mengasihani. Hari Arafah adalah hari kemuliaan, hari disempurnakan agama-Nya, hari bulan suci, hari beramal soleh, hari pembebasan dan hari permohonan doa. 

Hari Wukuf menguji daya tahan jemaah sama ada mental, fizikal atau spritual. Suasana yang panas terik membayangkan perhimpunan yang lebih besar, lebih panas dan lebih padat iaitu perhimpunan di Padang Mahsyar. 


Perjalanan kemudiannya diteruskan ke Muzdalifah dan berada di sana untuk seketika serta mengutip batu-batu kecil bagi tujuan melontar jamrah sebelum meneruskan perjalanan ke Mina. Jemaah akan tinggal lebih lama di Mina bagi melontar ketiga-tiga jamrah iaitu Jamratul Ula, Jamratul Wusta dan Jamratul Aqabah pada 11, 12 dan 13 Zulhijah.

Bagi kita di Malaysia yang tidak berpeluang ke sana pada kali ini, sama-samalah kita menghayati ‘roh haji’ supaya turut sama mendapat ganjaran dan rahmat-Nya. Kita digalakkan berpuasa pada hari-hari yang ditetapkan dan melakukan ibadah korban dengan menyembelih haiwan ternakan seperti kam­bing, biri-biri atau lembu.

Elok juga menjelang 10 Zulhijah ini kita menyelak semula khutbah terakhir Rasulullah SAW. Semoga ianya menjadi panduan. Antara inti pati khutbah itu ialah:

 Wahai manusia, seperti mana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi.

 Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan.

 Berwaspadalah terhadap syai­­tan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar. Maka berjaga- jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

 Wahai manusia, dengarlah bersunggah-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah pada bulan Ramadan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu.

 Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam takwa dan beramal soleh. Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

 Sesungguhnya aku tinggalkan ke­­pada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah al-Quran dan Sunnahku.

Semoga keluarga, jiran dan sahabat kita yang sedang mengerjakan haji dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna serta mendapat ganjaran haji mabrur.