Kiswah Baitul Ateeq Dijahit Dengan 120 kg Benang Emas, RM19.54 Juta

Kiswah
MAKKAH – Lebih 150 pekerja di Arab Saudi bergelut untuk menyiapkan kelambu Kaabah atau kiswah yang disulam dengan hampir 120 kilogram benang emas.

Kiswah baru itu akan dipasang pada Kaabah untuk menggantikan yang lama pada 9 Zulhijjah atau 23 September ini.

Mohammed bin Abdullah, pengarah kilang kelambu Kaabah yang terletak di Makkah itu berkata: “Kiswah baru ini akan dibuat dengan menggunakan 700 kilogram kain sutera, 120 kilogram benang emas dan 25 kilogram benang sutera.”


Menurutnya, kerja menghasilkan kiswah itu mengambil masa beberapa minggu dan biasanya dapat disiapkan beberapa hari sebelum musim haji.

Mohammed bagaimanapun tidak menyebut kos kelambu baru itu.

Menurut pegawai Saudi, kiswah tahun lalu berharga kira-kira SR17 juta (RM19.54 juta).

Kelambu itu dijahit menggunakan mesin baru berteknologi tinggi yang dikhususkan untuk menyiapkan proses pembuatan kelambu dengan pantas.

Mesin jenis Tajma-tfmz-602 mampu menjahit sehingga 1,000 jahitan seminit.


Dalam pada itu, Mohammed juga berkata, pekerja kilang berkenaan juga terbabit dalam penjagaan kiswah selepas ia diselubungkan pada Kaabah.

“Kami ada pasukan yang menjaga kelambu itu 24 jam sehari bagi memastikan ia tidak rosak atau kotor. Kerja membaiki kain yang terkoyak akan dilakukan serta merta,” katanya. – Agensi