KEPALA BATAS – Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata kementeriannya akan meluluskan permohonan untuk membaik pulih kemudahan sukan di Kepala Batas selepas didapati penyelenggaraannya kini kurang memuaskan.
Beliau berkata proses baik pulih itu akan dimulakan dengan Stadium Hoki Pulau Pinang di sini apabila Rancangan Malaysia Ke-11 bermula pada tahun depan.
“Keadaan stadium hoki yang kurang memuaskan akan menjejaskan perkembangan sukan hoki Pulau Pinang kerana itu merupakan satu-satunya stadium hoki yang ada di negeri ini,” katanya yang dipetik dari Bernama.
Menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi itu berkata, kementeriannya turut menyalurkan peruntukan hampir RM1 juta kepada Majlis Tindakan Negeri untuk menganjurkan program Hari Sukan Negara peringkat Pulau Pinang pada 10 Oktober ini.
Khairi Jamaluddin mengahwini Nori Tun Abdullah, puteri kepada Tun Abdullah yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang.
Penyandang jawatan Ahli Parlimen Kepala Batas kini adalah Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, setelah Tun Abdullah tidak bertanding pada pilihanraya umum yang lalu. -Kedahnews.com