Kolej Sultan Abdul Hamid Terus Jadi Lagenda Kebanggaan Kedah


Jika Perak berbangga dengan Koleh Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Johor berbangga dengan Sekolah Tun Fatimah (STF), Kedah juga tidak kurang hebatnya dan kami berbangga dengan sekolah lagenda kami, Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH).

Bagi anak Kedah, nama Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) sememangnya tidak asing lagi. Sebut saja nama "Kolej", boleh dikatakan hampir seluruh rakyat Kedah tahu tentang kehebatan sekolah berkenaan.

Bagi mereka yang pernah belajar di KSAH, nama rumah sukan mereka seperti Sultan, Gurney, Day, Stuart dan Kedah bakal memberikan kenangan manis kepada mereka. Padang rubgi di depan ibu pejabat sekolah itu menjadi saksi temasya sukan sekolah tersebut.

KSAH juga merupakan institusi menengah yang menjadi idaman ramai pelajar lelaki untuk belajar di sekolah lelaki (boy school) itu berkenaan sememangnya terbukti cemerlang dalam bidang akademik, sukan, ko-kurikulum dan sebagainya.


Sejarah ringkas

Diasaskan pada 8 Disember 1908 sebagai "Government English School" (GES) berlokasi berhampiran dengan Balai Nobat di Alor Setar, KSAH merupakan antara sekolah terawal negara.

KSAH yang merupakan sekolah Inggeris pertama dan tertua di Kedah itu kemudiannya dipindahkan ke Jalan Penjara Lama, di belakang IPD Kota Setar, pada 1911 dan sekali lagi dipindahkan ke Jalan Langgar pada tahun 1917, di mana ia kekal di situ hingga kini.

Pengetua pertama KSAH ialah Mohamad Iskandar, bapa kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Pada tahun 1935, nama GES secara rasminya ditukar kepada Kolej Sultan Abdul Hamid bersempena nama Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Dianggap sebagai salah sebuah sekolah elit di Kedah, KSAH diberi pengiktirafan sebagai Sekolah Premier Negeri Kedah oleh Kerajaan Negeri Kedah pada tahun 1999.


Melahirkan Anak Kedah Yang Berwibawa

Boleh dikatakan KSAH sejak zaman berzaman telah berjaya melahirkan ramai pemimpin unggul, cendikiawan, tokoh sukan dan tokoh-tokoh yang terkenal serta berjasa kepada negeri Kedah, mahupun di peringkat nasional.

Antaranya ialah;

  1. Tuanku Haji Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah - Sultan Negeri Kedah,YDPA ke-5 dan YDPA ke-14
  2. Tuanku Abdul Malik ibni Almarhum Sultan Badlishah - Raja Muda Negeri Kedah
  3. Syed Nahar Bin Tun Syed Sheh Shahabuddin - bekas Menteri Besar Kedah Ke-5
  4. Osman Bin Haji Aroff- bekas Menteri Besar Kedah Ke-6
  5. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj- bekas Perdana Menteri Malaysia pertama.
  6. Tun Dr Mahathir bin Mohamad - bekas Perdana Menteri Malaysia ke-4.
  7. Tunku Ismail Bin Tunku Yahaya - bekas Menteri Besar Kedah ke-2
  8. Tan Sri Syed Omar Bin Syed Abdullah Shahabuddin - bekas Menteri Besar Kedah ke-3
  9. Tan Sri Syed Ahmad bin Syed Mahmud Shahabuddin - bekas Menteri Besar ke-4,T.Y.T Yang di-Petua Negeri Melaka Ke-5
  10. Datuk Seri Chor Chee Heung - Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan
  11. S.Manikumar - ADUN Bukit Selambau, Kedah (2009 - 2013)
  12. Tun Daim Zainuddin - bekas Menteri Kewangan Malaysia ke-6.
  13. Prof. Emeritus Shahnon Ahmad - Sasterawan Negara
  14. Tunku Osman Tunku Mohammad Jewa - Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia
  15. Murad b. Ahmad - Ketua Pengarah Penjara ke-4
  16. Tun Zaki Azmi - Bekas Ketua Hakim Negara
  17. Azizan Ariffin - Panglima Angkatan Tentera Malaysia
  18. Uthman el-Muhammady - Pendakwah
  19. Ilyas bin Haji Din - Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia ke-13
  20. Mohamed Khir Johari - Menteri Kabinet
  21. Abd Razak bin Mohd Yusoff -satu-satunya penerima pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P) yang masih 'aktif' berkhidmat dalam PDRM
  22. Victor Andrag - Bekas pemain bola sepak Kedah dan Kebangsaan
  23. Azmi Mahmud - Bekas pemain bola sepak Kedah dan Kebangsaan (Penjaga Gol)
  24. Mohd. Faridzul Kassim - Bekas pemain bolasepak skuad Harimau Malaysia, Kedah, Kuala Lumpur dan Selangor.
  25. Akmal Rizal Ahmad Rakhli- Bekas pemain bola sepak Kedah dan Kebangsaan.
  26. Datuk Azhar Mansor - Wira Samudera Negara

Meskipun cuba disaingi oleh beberapa sekolah lain seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma (sekolah perempuan) atau Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Keat Hwa, namun agak sukar untuk menandingi kehebatan KSAH.

Sehingga kini, KSAH masih lagi cemerlang dalam melahirkan anak-anak Kedah yang terbilang di mana ia menjadi salah satu aset kebanggaan negeri jelapang padi yang layak dilabel sebagai institusi pendidikan yang bertaraf "lagenda". -Kedahnews.com