Merokok lebih sihat dari "vaping"? |
KUALA LUMPUR – Penghisap rokok elektronik (vapers) yang jumlahnya semakin bertambah mahukan peraturan yang lebih baik berbanding larangan menyeluruh terhadap penggunaan produk itu.
“Pada masa ini kami membuat kawal selia sendiri dan mengalu-alukan cadangan Kerajaan untuk mengawal selianya,” kata Presiden Persatuan E-Vaporizers dan Alternatif Tembakau Malaysia (MEVTA), Allan Foo.
Beliau berkata, mereka menyambut baik langkah Kerajaan untuk memperkenalkan undang-undang mengenai penggunaan vape.
“Malah, kami telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk merangka cadangan tentang bagaimana untuk mengawal selia industri ini.
“Kami akan menyerahkannya kepada Kerajaan pada akhir tahun ini,” katanya pada sidang akhbar majlis pelancaran kempen Melarang Penjualan Barangan Vape kepada mereka di bawah usia 18 tahun.
Beliau berkata kominiti vape sedar akan kebimbangan orang ramai yang semakin meningkat ke atas penggunaan vape yang tidak terkawal.
“Sebab itu kita cuba untuk mendidik orang ramai mengenai penggunaan vape.
“Ini termasuk memulakan kempen untuk menghalang penjualan vape kepada mereka yang berusia bawah 18 tahun dan memperkenalkan garis panduan untuk pengguna,” katanya.
Beliau berkata persatuan itu juga tidak bersetuju vape dipromosikan sebagai satu produk ‘gaya hidup’.
“Matlamat kami adalah untuk melihat vape digunakan sebagai alternatif oleh perokok yang berhasrat untuk menghentikan tabiat itu,” katanya, sambil menambah vape tidak perlu digalakkan untuk golongan bukan perokok.
Bilangan vapers di seluruh negara dianggarkan sebanyak 300,000 sejak ia diperkenalkan di negara ini tujuh tahun lalu.
Sumber: mStar