Kos Miliki Lesen Motorsikal RM299 Melalui Mylesen Mula 15 September 2015

Gambar Hiasan
ALOR SETAR - Mulai 15 September, orang ramai boleh memiliki lesen motosikal pada kos lebih rendah iaitu RM299 berbanding harga semasa RM350 melalui program MyLesen, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata program MyLesen diperkenalkan bagi menggalakkan orang muda yang tidak memiliki lesen motosikal, mendapatkan lesen masing-masing.

“Ramai pemuda-pemudi yang menunggang motosikal tanpa lesen. Ini amat bahaya. Daripada 10 penunggang motosikal, kami mendapati tiga (tanpa lesen).

“Menunggang motosikal tanpa lesen tidak boleh diterima. Jadi kita seru mereka cepat-cepat ambil lesen dan program MyLesen bertujuan membantu mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis Kembara Kasih Merdeka 2015 anjuran Skuad Muda 1JPJ di ibu negara baru-baru ini.

Tiong Lai berkata, program MyLesen akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama sekolah memandu yang mengambil bahagian dalam program berkenaan. – Kedahnews.com