KPDNKK Lancar Kempen Jualan Harga Istimewa Di Seluruh Negara

Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah
PENAMPANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini melancarkan kempen jualan harga istimewa di seluruh negara, sehingga akhir bulan ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata kempen jualan harga istimewa itu dengan kerjasama beberapa syarikat adalah bersempena sambutan Hari Malaysia yang akan disambut esok.

"Bagi KPDNKK, kita nak supaya jualan harga istimewa ini adalah dari segi harga jualan tetapi kalau syarikat-syarikat hendak membuat promosi atau mungkin untuk menarik lebih ramai pengunjung, mereka boleh buat tawaran lain, selain daripada harga murah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kempen Jualan Istimewa sempena sambutan Hari Malaysia di pasar raya Servay di sini Selasa.

Ahmad Bashah berkata KPDNKK tidak menetapkan jenis barangan yang perlu dijual, dan ia bergantung kepada syarikat-syarikat terbabit.

Di Sabah, beliau berkata terdapat 35 syarikat menyertai karnival jualan istimewa itu pada kali ini.

"Dengan adanya jualan istimewa ini, pengguna dapat memperoleh barangan pada harga berpatutan, malah jauh lebih rendah berbanding harga sebelumnya," kata beliau. -BERNAMA