Makkah - Kren gergasi Leibher yang jatuh terhempas di Masjidilharam hingga mengorbankan 111 jemaah dan mencederakan 331 yang lain sudah dialihkan dari perkarangan masjid itu.
“Kren itu tidak akan digunakan lagi untuk projek pembesaran Masjidilharam seterusnya,” kata satu sumber projek berkenaan yang dipetik oleh sebuah akhbar tempatan.
Menurut sumber itu, kren berkenaan tidak akan dipasang semula dan tidak akan digunakan dalam projek seterusnya.
Siasatan awal yang dilakukan jawatankuasa yang dilantik pihak berkuasa berkait dengan kemalangan itu merumuskan kren itu berada di kedudukan yang salah ketika angin kencang melanda bandar suci ini Jumaat lalu.
Laporan siasatan itu berkata, kedudukan kren itu bertentangan dengan arahan operasi yang ditetapkan syarikat pembuat kren itu di Jerman.
“Terdapat lebih 100 kren terbabit dalam pembinaan membesarkan Masjidilharam dan jumlah itu cukup untuk menyiapkan projek itu,” kata sumber berkenaan.
Katanya, kren yang terhempas itu sudah hampir digunakan sepenuhnya dan kren lain akan digunakan untuk menyiapkan tugasannya selepas ini.
Seratus kren yang ada di sekitar Masjidilharam sudah diperiksa dan didapati selamat.
Kajian juga akan dijalankan untuk memastikan sama ada kren yang tidak diperlukan lagi.
“Kren yang didapati tidak lagi diperlukan akan dipunggah,” katanya. -Agensi