Penduduk Kampung Keda Sungai Buloh resah masalah bekalan air yang terputus sejak 10 hari lalu dan terpaksa menyimpan air untuk aktiviti harian. |
KULIM - Hampir tiga minggu dibelenggu masalah air, lebih 1,000 penduduk di daerah ini sudah tidak tahan dan menuntut pihak Syarikat Air Darul Aman (Sada) menyelesaikan masalah berkenaan.
Seorang penduduk Sungai Tengas (Masjid), Rohayu Majid, 40, berkata, walaupun setiap tahun masalah air kerap berlaku namun kali ini adalah paling teruk.
Menurutnya, bekalan air yang terputus menyukarkan penduduk melakukan aktiviti harian.
“Memang sebelum ini pun berlaku terutama di hari raya, namun kali ini paling teruk. Penduduk yang ada anak kecil, orang tua yang sakit semua perlukan air yang banyak.
“Kami nak masak dan mandi pun susah, kadang kala kena ambil air di rumah orang lain dan di sungai yang jaraknya lima kilometer dari rumah,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagi Saadiah Latif, 65, pula, dia terpaksa membelanjakan RM30 hingga RM40 sehari untuk membeli nasi bungkus kerana sukar untuk memasak.
“Anak saya dari ibu kota pulang ke rumah, nak makan nak masak susah air tak ada. Kami terpaksa beli makanan hari-hari di kedai.
“Sudahlah penduduk ini kebanyakannya hanya menoreh getah, sekarang terpaksa belanja beli nasi bungkus pula,” katanya.
Selain itu, Maini Abdul Ghafar berkata, walaupun lori tangki air Sada dihantar untuk membekalkan air kepada kira-kira 30 penduduk kampung namun ia tidak mencukupi.
“Tapi sejak kami tak ada air baru beberapa kali saja mereka hantar. Kadangkala tak cukup untuk semua penduduk kampung.
“Kami puas telefon dan membuat aduan namun masalah air ini masih juga tidak selesai, sampai bila kami harus bersabar,” katanya.
Peniaga alami kerugian
Dalam pada itu, bagi 170 penduduk Kampung Sungai Buloh dan Keda Sungai Buloh turut menggesa pihak Sada menyelesaikan segera masalah bekalan air terputus yang dihadapi mereka sejak 10 hari lalu.
Seorang peniaga, Roslan Md Idris berkata, dia terpaksa menanggung kerugian apabila bahan masakannya untuk berniaga terpaksa dibuang kerana rosak.
“Mereka tak bagi tahu kita, memang ada masalah bekalan air sebelum ini kerap terputus, namun selang sehari air ada balik tapi kali ini sepanjang hari tak ada.
“Notis pun mereka tak bagi, kami peniaga mana tahu, beli barang perniagaan seperti ayam dan ikan, tengok air tak ada nak basuh pun tak boleh sehingga rosak dan kena buang,” katanya.
Pinjam tong air, mandikan jenazah
Manakala, Kamaria Mat, 44, yang baru kehilangan ibunya, berkata, dia terpaksa tebal muka meminjam tong untuk menadah air bagi pengurusan jenazah ibunya yang meninggal kelmarin.
“Walaupun kami faham, orang lain pun nak guna tong nak tadah air tapi kami terpaksa pinjam. Air dalam tong itu kami guna untuk pengurusan jenazah.
“Bertapa susahnya kami penduduk kampung yang bekalan airnya terputus, kami tak nafikan Sada ada hantar air tapi tak cukup kadangkala bekas nak simpan air pun tak ada,” katanya.
Kos kehidupan semakin meningkat
Malah seorang lagi penduduk kampung Sungai Buloh, Ayob Rashid, 44, berkata, penduduk juga terpaksa membelanjakan wang untuk mencuci pakaian kotor di pusat mencuci pakaian.
“Nak makan pun tak berapa nak cukup, sekarang nak kena tanggung kos dobi pula. Setiap dua hari terutama yang ada anak kecil kena pergi cuci.
“Bil air setiap bulan kami bayar, kami harapkan bekalan air sampai kepada kami dengan sempurna, tapi begini pula jadinya,” katanya.
Pengerusi JKK Kampung Sungai Buloh, Jamaluddin Latif berkata, pihak Sada perlu selesaikan masalah di loji yang memberi kesan kepada bekalan air seperti yang didakwa pihak mereka.
“Kita harap masalah ini dapat diselesaikan segera, kasihan penduduk kampung nak menjalankan rutin harian pun susah,” katanya.
Masalah loji akan selesai minggu ini
Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam Sada, Rofedi Sulaiman berkata, masalah bekalan air yang berpunca daripada loji air Mahang akan diselesaikan dalam tempoh terdekat.
“Kami sudah lawat masalah di loji Mahang, kami dapati pam yang bermasalah. Ada setengah kampung yang dapat air dan ada yang tak dapat.
“Kami cuba selesaikan dengan penghantaran air melalui lori tangki. Dalam tiga atau empat hari lagi masalah ini akan di selesaikan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian