Kumpulan "Tabligh" Wanita Minta Alamat Penduduk Untuk Daftar Pengundi Di Putrajaya

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor 
PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendedahkan terdapat kumpulan yang mengaku sebagai tabligh bergerak aktif di sini sejak enam bulan lalu meminta alamat penduduk untuk digunakan bagi pendaftaran pengundi.

Lebih mengejutkan, kata Tengku Adnan yang juga anggota Parlimen Putrajaya, kumpulan tabligh berkenaan terdiri daripada wanita yang mana ia tidak sepatutnya berlaku.

“Kita naik hairan kerana tabligh sepatutnya lelaki tetapi yang kita kesan di Putrajaya ini tabligh perempauan.

“Yang saya terkilan mereka masuk rumah penduduk bukan bawa ajaran Islam, tapi dia nak minta tuan rumah beri kebenaran supaya alamat rumah dapat digunakan oleh orang luar untuk jadi pengundi dalam Putrajaya,” katanya.

Tengku Adnan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Persidangan Percambahan Minda Pengerusi, Pentadbiran dan Pegawai Syarak Masjid dan Surau Parlimen Putrajaya di sini pada Sabtu.

Menjelas lanjut Tengku Adnan berkata, kumpulan yang mendakwa sebagai tabligh itu bukan sahaja meminta alamat penduduk, tetapi turut menyebarkan dakyah dan fitnah terhadap kepimpinan negara.

“Saya telah tanya dengan masjid tabligh di Sri Petaling (sama ada) mereka ada hantar orang ke Putrajaya atau tidak kerana selalu apabila mereka hantar, saya juga akan dimaklumkan.

“Tetapi kali ini saya diberitahu masjid itu tiada kena mengena, sebaliknya parti politik tertentu yang melaksanakan perkara ini dalam Putrajaya,” katanya sambil menasihati kawasan lain agar berhati-hati.

Tambahnya, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya dan memberi amaran kepada kumpulan berkenaan laporan polis akan dibuat jika mereka meneruskan aktiviti itu. – BERNAMA