Sandro Da Silva (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada perlawanan Liga Malaysia di antara Kedah menentang Terengganu di Stadium Darul Aman malam Jumaat. -foto: BERNAMA |
ALOR SETAR- Skuad Helang Merah, Kedah menggegarkan Stadium Darulaman malam tadi apabila bergaya dengan "kenduri gol" menewaskan pasukan Terengganu dengan jaringan 5 gol tanpa bolos.
Menepati ramalan awal, skuad kendalian Tan Cheng Ho itu melakar kegembiraan di hati peminat pasukan hijau kuning itu dengan kemenangan besar pada aksi kedua Piala Malaysia 2015, malam tadi.
"Ayam tambatan" Kedah yang merupakan pemain import dari Brazil, Sandro da Silva muncul wira negeri Jelapang Padi apabila menjaringkan hatrik yang menggamatkan sorakan di stadium berkenaan.
Dengan kemenangan manis itu, Kedah kini menghuni tangga teratas Kumpulan A bagi aksi kejohanan musim ini.
Selepas membuka jaringan pada minit ke-51, Silva meledak gol keduanya pada minit ke-65 menerusi penalti diikuti hatrik pada minit ke-81, sekaligus mencatat rekod hatrik dalam tempoh 30 minit.
Sementara itu, Farhan Roslan meledak gol ketiga tuan rumah pada minit ke-72 dengan Alif Fadhil Ismail melengkapkan jaringan pada minit ke-85.
Selepas dibolosi tiga gol pada babak kedua, tekanan ke atas Terengganu bertambah menyaksikan Nor Shahrul Idlan Talaha dibuang padang kerana mengasari pemain Kedah, Osman Yusof pada minit ke-75. -Kedahnews.com