Antara bot nelayan kelas A yang ditahan kerana melanggar syarat lesen. |
KUALA KEDAH - Enam nelayan ditahan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim) Wilayah Maritim Utara kerana didakwa melanggar syarat lesen di perairan Pantai Kuala Kedah, di sini, kelmarin.
Bertindak atas aduan orang awam, sepasukan anggota Maritim Pangkalan Maritim Kuala Kedah mengesan bot mencurigakan kira-kira jam 11.55 pagi.
Ketua Penguatkuasa Pangkalan Maritim Kuala Kedah, Leftenan Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata, bot tangguk siput retak seribu berkenaan kemudian ditahan lebih kurang 1.6 batu nautika dari Pantai Kuala Kedah.
"Melalui pemeriksaan dilakukan, sebuah bot kelas A jenis bot tangguk siput retak seribu berkenaan memiliki waktu operasi dalam premis yang disyaki meragukan.
"Manakala, bot kelas A berlainan pula didakwa melakukan kesalahan melanggar syarat lesen apabila didapati beroperasi melebihi masa yang dibenarkan," katanya.
Ahmad Kamal berkata, seorang dari enam warga Malaysia berusia antara 18 hingga 50 tahun yang ditahan bekerja atas bot berkenaan turut gagal mengemukakan kad pengenalan dirinya.
Katanya, bot berkenaan dibawa ke Pangkalan Maritim Kuala Kedah untuk siasatan dan pendakwaan manakala mereka boleh dikenakan kompaun di bawah Akta Perikanan 1985 jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, katanya, pihaknya memandang serius usaha membanteras kegiatan nelayan yang melanggar undang-undang.
"Kami berharap orang awam dapat memberi kerjasama dalam menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan menyalahi undang-undang maritim di perairan negara ini.
"Jika sesiapa memiliki aduan ataupun kecemasan di laut diminta menghubungi talian 24 jam MERS 999 dan pusat operasi maritim Pangkalan Maritim Kuala Kedah di talian 04-7621810," katanya.
Sumber: Sinar Harian