Ahmad merenung jauh mengenangkan nasib dirinya kelak. |
BALING - Hanya sebuah pondok kecil beratapkan daun nipah dan berdinding papan semakin reput menjadi tempat berlindung untuk meneruskan sisa hidup bagi seorang warga emas di Kampung Tembak A, dekat sini.
Lelaki yang ingin dikenali sebagai Ahmad, 70, kini semakin uzur dan kurang daya penglihatan serta pendengaran, tinggal bersendirian ditemani 20 kucing yang dibela untuk mengubat kerinduan terhadap anak-anaknya.
“Hampir 10 tahun saya hidup bersendirian di sini, keadaan rumah pun sudah makin buruk, tunggu masa saja nak roboh.
“Hanya kucing-kucing inilah yang jadi peneman saya sekarang, dengan kucing ini saya melepaskan keluhan dan kerinduan kepada anak,” katanya.
Katanya, setiap hari dia masih menanti kepulangan lima anaknya yang tidak pernah menjenguknya di kampung halaman itu sejak 10 tahun lalu.
“Setiap hari saya masih harap ada anak-anak yang datang jenguk saya, saya rindu kepada mereka semua,” katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, Shamsul Izrin Ishak berkata Ahmad hanya meneruskan hidup dengan wang yang diberikan JKM sebanyak RM300 sebulan.
“Dia dapat elaun daripada JKM untuk warga emas, duit itulah yang digunakan untuk membeli makanan dan untuk teruskan hidup.
“Saya juga difahamkan yang dia telah cuba memohon untuk membina rumah, namun tanah yang didudukinya adalah tanah orang,” katanya.
Katanya, bekalan air dan elektrik juga adalah sumbangan daripada jiran-jiran yang simpati dengan nasib yang menimpa dirinya.
“Jiran-jiranlah tempat dia bergantung sekarang ini, ada yang sediakan makanan, sediakan bekalan air bersih untuk kegunaan hariannya.
"Pihak JKM mengucapkan ribuan terima kasih kepada jiran-jiran yang prihatin dengan nasib Ahmad ini,” katanya.
Beliau berkata, JKM juga bercadang menempatkan Ahmad ke rumah Seri Kenangan di Bedong sekiranya waris gagal ditemui.
“Kita harap anak-anaknya dapat pulang melihat keadaan bapa mereka yang semakin uzur ini.
"Kalau kita gagal temui pihak JKM terpaksa menghantar ke rumah jagaan orang tua-tua,” katanya.
Sumber: Sinar Harian