Muhammad Haikal Aqasyah Taib, 11, mendukung seekor kucing untuk dibawa ke tempat selamat selepas rumahnya ditenggelami banjir di Pekan Changlun hari ini. - Foto BERNAMA |
CHANGLUN – Lebih 1,000 penduduk dari lapan buah kampung di sini dilapor terjejas akibat banjir berikutan hujan lebat yang turun sejak dua hari lepas.
Kampung tersebut ialah Kampung Paya Nomi, Kampung Belukar, Kampung Rantau, Pekan Changlun, Kampung Sungai Petani, Taman Rasa Sayang, Kampung Bendang Ceruk dan Kampung Padang Pasir yang melibatkan kira-kira 600 buah rumah.
Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Kubang Pasu, Kamarulzaman Kasa berkata banjir mula berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi tadi akibat limpahan air Sungai Changlun.
Namun beliau berkata setakat ini belum berlaku pemindahan penduduk.
“Setakat ini air yang naik adalah sedalam antara 0.5 hingga 1 meter. Pemindahan akan dibuat sekiranya keadaan memerlukan,” katanya.
Seorang penduduk di Pekan Changlun, Rozali Man, 50, berkata air mula melimpahi halaman rumahnya kira-kira tengah malam tadi dan mula memasuki ke dalam rumahnya kira-kira 9 pagi.
“Kami sekeluarga telah membuat persediaan awal dengan mengangkat dan menyimpan barangan penting di tempat tinggi sebelum air mula melimpahi ke setiap ruang rumah satu tingkat kami,” katanya dan menambah mereka turut bersedia untuk dipindahkan.
Sabrie Arsula, 70, juga dari Pekan Changlun berkata air mula masuk ke dalam rumahnya kira-kira pukul 4.30 pagi tadi.
Katanya air Sungai Changlun yang terletak tidak jauh dari rumahnya melimpah dengan cepat menyebabkan semua rumah berhampiran dinaiki air. – BERNAMA