MAKKAH - Lebih tiga juga umat Islam dunia termasuk lebih 22,000 jemaah haji Malaysia mula berangkat ke Arafah pagi Selasa bersama 8 Zulhijah yang juga dikenali sebagai hari Tarwiyah.
Sejak 12 hari lalu iaitu kejadian kren tumbang di Masjidil Haram pada 11 September yang mengorbankan lebih 100 nyawa termasuk tujuh jemaah Malaysia, ibadah haji diteruskan seperti biasa.
Sebahagian besar jemaah haji mula meninggalkan Tanah Suci Makkah selepas solat Subuh sama ada berkenderaan atau berjalan kaki kira-kira 22 kilometer .
Bagi jemaah haji Malaysia, mereka bergerak berperingkat-peringkat mengikut kumpulan penerbangan haji dengan menaiki bas.
Bas-bas mula bergerak mengikut enam jadual waktu berlepas iaitu pada pukul 1 pm (6 pm waktu Malaysia), 3 petang dan 5 petang, 6 petang, 8 malam dan 10 malam waktu Arab Saudi.
Semua jemaah haji akan berkumpul di padang Arafah untuk berwukuf pada Rabu. Di Arafah, jemaah haji Malaysia ditempatkan di lebih 2,000 khemah, di tapak yang sama seperti musim haji lepas.
Berwukuf di padang Arafah adalah kemuncak ibadat haji dan menjadi rukun haji yang perlu disempurnakan. Tempoh berwukuf dalam ibadat haji bermula apabila tergelincirnya matahari (masuknya waktu zohor) pada 9 Zulhijjah sehingga terbitnya fajar subuh pada 10 Zulhijjah.
Selepas berwukuf semua jemaah akan bergerak ke Muzdalifah untuk bermabit dan mengutip anak batu. Jemaah haji seterusnya berangkat ke Mina untuk bermalam dan melontar ketiga-tiga jamrah mulai 10 Zulhijah pada Aidiladha dan hari-hari Tasyrik .
Suasana di sekitar Masjidil Haram semakin lenggang apabila jemaah mula beredar ke Arafah |
Sementara itu Bernama melaporkan, Pengarah Operasi (Bimbingan) Tabung Haji (TH) Tengku Aziz Raja Abdullah berkata jemaah haji akan berada di Arafah sehingga 9 Zulhijjah sebelum bergerak ke Muzdalifah pada malamnya (9 Zulhijjah).
"Jemaah haji wajib bermabit (berada seketika atau bermalam) di Muzdalifah mulai pukul 11.40 pm sehingga terbitnya waktu fajar pada 10 Zulhijjah. Pada 10,11 dan 12 Zulhijjah, jemaah akan berada di Mina untuk ibadat melontar," katanya.
Tengku Aziz berkata setiap jemaah haji juga boleh merujuk kepada pembimbing ibadat TH sekiranya mereka menghadapi sebarang kemusykilan berkaitan pelaksanaan ibadat berkenaan.
"Setiap jemaah perlulah menumpukan sepenuhnya kepada pelaksanaan ibadat bagi memperoleh haji mabrur," katanya.
Sumber: mStar