Lelaki Bermotorsikal Maut Bertembung Kereta Pemandu Tidak Berlesen Di Baling


BALING – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta dipandu seorang pemuda dipercayai tidak mempunyai lesen memandu di Kampung Pak Bong, Jalan Baru Kulim, Baling-Grik, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, DSP Wari a/l Kiew berkata dalam kejadian pukul 6 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Noor Abdul Ghani, 43, sedang dalam perjalanan dari Baling ke Grik.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati kereta tersebut dipandu laju dan hilang kawalan disebabkan keadaan jalan raya licin akibat hujan sebelum melanggar motosikal mangsa.

“Mangsa yang cedera parah di kepala dan dikesan tidak memakai topi keledar itu disahkan meninggal dunia di Hospital Daerah Baling pada pukul 9.45 malam,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pemandu kereta, Wan Helmy Arizy Wan Hassan, 20, dan penumpang Muhamad Kamal Razali, 20, yang dalam perjalanan dari Kelantan ke Pulau Pinang, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa lesen, katanya. – BERNAMA