Lembaga Peperiksaan Masih Kaji Subjek Bahasa Inggeris Wajib Lulus

LABUAN -  Lembaga Peperiksaan Malaysia sedang meneruskan kajian komprehensif mengenai masa yang sesuai bagi pelaksanaan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).  

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof berkata penangguhan pelaksanaannya ialah untuk memberi lebih banyak masa kepada guru dan pelajar membuat persediaan. 

"Seperti diumumkan oleh Lembaga Peperiksaan, pelaksanaannya ditangguhkan kerana terdapat keperluan untuk kajian selanjutnya kerana guru kita masih belum bersedia tetapi ia akan dilaksanakan tetapi bukan pada 2016," katanya kepada pemberita selepas menutup Persidangan Antarabangsa Labuan mengenai Penyelidikan Pendidikan (LICER) 2015 di sini, Sabtu. 

"Kita perlu memastikan apabila kita hendak melaksanakannya, semua sekolahmesti menerimanya dan guru mereka mesti terlatih sepenuhnya dan bersedia melaksanakan sepenuhnya pelan itu. Masih terdapat sekolah dan guru-guru yang belum bersedia dan menyokong pelaksanaannya," kata beliau. 

Cadangan untuk Bahasa Inggeris dijadikan mata pelajaran wajib lulus pada2016 dinyatakan dalam Pelan Pendidikan Kebangsaan 2013-2025. 

Untuk persiapan lebih baik bagi pelaksanaan cadangan itu, Kementerian telah mula melatih 61,000 orang guru Bahasa Inggeris supaya lebih mahir dalam bahasa itu sejak 2013. 

Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan bulan lepas dilaporkan berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia untuk mendapatkan penjelasan mengenai penangguhan itu. 

Katanya beliau akan mengadakan mesyuarat dan menemui pihak berkepentingandan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan yang telah menyuarakan pandangan mereka mengenai keputusan itu.

Sumber; mStar