Wanna Suansan |
Bangkok - Keluarga Wanna Suansan, wanita warga Thai yang dituduh terbabit dalam serangan bom lebih dua minggu lalu di bandar raya ini, semalam menyangkal dakwaan dia terlibat dalam kejadian berkenaan.
Abang, Eacha Suansan dan kakaknya, Suda Suansan memberitahu wartawan, mereka yakin Wanna, 27, tidak bersalah.
“Dia wanita baik, bersopan dan tertib. Dia taat melakukan perintah agama, solat lima waktu sehari. Kami sekeluarga amat mengenalinya dan tidak percaya dia terbabit dalam keganasan seumpama itu.
“Kami mahu keadilan untuk adik kami. Tolong jangan terburu-buru menuduhnya. Kita tunggu dia pulang untuk membuktikan dia tidak bersalah,” kata Eacha.
Wanna, lulusan Fakulti Sains Politik Universiti Ramakhamhaeng dilaporkan berada di Turki bersama suaminya ketika ini.
Selepas menamatkan pelajaran, dia berkahwin dengan lelaki Turki dan mempunyai anak lelaki berusia tujuh bulan.
Dia antara tujuh suspek yang dikehendaki berkait dengan pengeboman itu.
Dua suspek sudah ditangkap, termasuk seorang kelmarin, yang dipercayai lelaki berbaju kuning dalam rakaman video sejurus sebelum letupan bom di Kuil Erawan pada 17 Ogos lalu.
Suda berkata, keluarganya membantu polis dalam siasatan mereka.
“Memang keluarga kami tertekan ketika ini. Ada jiran mula memandang serong. Kami menanti kepulangan Wanna untuk menyangkal segala tuduhan terhadapnya,” kata Suda. - Agensi