Gambar Hiasan |
Bangkok - Polis Thailand semalam mendakwa mencapai kemajuan dalam usaha mengenal pasti perancang serangan bom 17 Ogos lalu selepas menahan seorang lelaki yang mengaku berada di tempat kejadian dan cop jarinya sama dengan yang dikesan dalam bilik suspek pengebom itu.
Lelaki yang belum disahkan identitinya itu ditahan kurang satu kilometer dari sempadan Kemboja, kelmarin.
Dia memberitahu polis dia bukan pengebom yang diburu, tetapi mengaku berada di kawasan berkenaan ketika letupan yang membunuh 20 orang itu.
“Memang biasalah suspek akan menafikannya. Tetapi, kami akan meneruskan siasatan. Ketika ini, kami sudah mencapai kemajuan 70 peratus dalam menyiasat kes ini,” katanya.
Suspek berkenaan menetap di kawasan Nong Chok di Bangkok, sama dengan lelaki yang ditahan dalam serbuan yang menemukan puluhan pasport palsu, bahan untuk membuat letupan, termasuk TNT, C4 dan baja, Sabtu lalu.
Jurucakap polis Prawut Thawornsiri berkata, cop jari suspek terbaru itu sama dengan yang ditemui pada bahan letupan yang dirampas.
“Dia mungkin orang yang membawa bom itu keluar dari bilik atau membawanya ke lokasi kejadian,” kata Prawut.
Siasatan kejadian itu mencatatkan kemajuan sejak serbuan hujung minggu lalu.
Sebelum ini, polis hanya bergantung kepada video yang menunjukkan seorang lelaki berbaju kuning meninggalkan beg galas di Kuil Erawan sejurus sebelum letupan. - AFP