Lufya Dedah Ada Produksi Tawar Bayaran Lumayan Asal Sanggup Tanggal Hijab

Lufya Omar
Meskipun menyedari Lufya Omar sudah berhijrah ke arah imej yang lebih Islamik, namun beberapa produksi masih lagi cuba "meracun" pelakon wanita itu dengan tawaran lumayan asalkan dia sanggup berlakon dengan tidak mengenakan hijab.

Perkara berkenaan didedahkan sendiri oleh Lufya kepada media dan menegaskan bahawa dia lebih sayang pada penampilan menutup aurat serta menganggap tawaran tersebut merupakan satu ujian baginya.

"Selepas berhijab, ada beberapa produksi yang menawarkan saya berlakon tetapi dengan syarat saya perlu berlakon tanpa tudung dan bayarannya juga lumayan.

"Tetapi saya anggap perkara ini sekadar ujian Allah yang mahu menguji iman kita. Ada juga beberapa dugaan lain sepanjang saya bertudung ini," kata Lufya yang dipetik dari mStar.

Bagaimanapun, Lufya dalam kenyataannya tidak mendedahkan nama atau pihak produksi yang menawarkan tawaran bersyarat yang dimaksudkan.

Lebih manis lagi, Lufya turut mendedahkan bahawa rezeki halal yang diperoleh dari karier seninya itu begitu mencurah-curah dan hasil titik peluhnya itu lebih berkat.

"Alhamdulillah, saya berjaya mengharunginya dan dapat melihat hikmah di sebaliknya.

"Tawaran lakonan pula tidak pernah putus. Diakui ia tidaklah lumayan, tetapi saya dapat rasa keberkatan wang itu, tidak mudah habis," katanya lagi.

Lufya dalam kenyataannya turut mengatakan bahawa dia perlu bersifat selektif dalam soal tawaran berlakon kerana selain dari menghibur, pelakon itu juga mahu turut menyumbang hasil seninya ke arah dakwah kepada masyarakat.

"Saya bersyukur apabila ramai yang menyokong kerjaya saya, jadi saya mahu membalasnya dengan berdakwah menerusi lakonan dengan memilih watak-watak Islamik.

"Tambahan pula, watak Islamik lebih sesuai dengan penampilan saya sekarang ini," jelasnya, seolah menujukan kata-kata tersebut kepada produksi filem tempatan yang berhajat memberi tawaran padanya.

Perkembangan terbari mengenai karier seninya, Lufya memaklumkan bahawa dia baru sahaja selesai penggambaran telefilem 'Dibawah Langit Mu Aku Berselawat',  terbitan Astro Oasis. -Kedahnews.com