Mahfuz Beri Amaran Pada PAS, Suruh Jaga Perasaan Keluarga Hatta Ramli

Bekas Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar
Para pimpinan PAS diberi amaran supaya bertimbang rasa dengan perasaan keluarga bekas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli dalam membincangkan isu baiah secara terbuka di media.

Bekas Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, wujud kebimbangan apabila isu itu dibahas secara meluas dengan pelbagai pandangan, bakal wujud persepsi bahawa PAS sebuah parti yang hipokrit serta mengguna agama juga mencagar wanita (isteri) untuk kepentingan politik.

“Seharusnya semua pihak menghormati dan menjaga hati dan perasaan orang yang dilibatkan. Kalau pun anda tidak dapat menjaga hati dan perasaan Dr Hatta tetapi ingatlah isteri dan anak menantu serta keluarganya punya hati dan perasaan.

“Membincangkan isu baiah cerai talak tiga secara terbuka tidak pun membantu menambah kekuatan PAS, tetapi sebaliknya mencalarkan imej Pas. Dengan perbincangan yang berlaku hari ini telah akhirnya membentuk pelbagai persepsi masyarakat terhadap PAS.

"Paling dibimbangkan saya, masyarakat akan punya persepsi PAS ini hipokrit dan mengguna agama serta mencagarkan wanita (isteri) untuk kepentingan politik,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik dari Sinar Harian.

PAS mengesahkan sebanyak 22 bekas pemimpinnya termasuk Dr Hatta bukan lagi anggota parti berkenaan sebaik sahaja mereka menyertai Parti Pekerja-Pekerja Malaysia (PPM) yang diambil alih oleh Harapan Baru dan akan dijenamakan semula sebagai Parti Amanah Negara (Amanah).

Sebelum ini, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata, PAS mendedahkan baiah atau sumpah kepada wakil rakyatnya di seluruh negara yang bertanding atas tiket parti itu sejak 2004 yang mesti mengosongkan kerusi mereka jika meninggalkan atau melompat ke parti lain dengan sukarela.

Katanya, bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menambah syarat bahawa wakil rakyat PAS di Kelantan perlu bertaklik dengan melafazkan cerai talak tiga terhadap isteri masing-masing.

Namun, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli menafikan jatuhnya talak tiga itu dan mendakwa perkahwinannya tidak terbubar kerana telah pun membayar kifarat kepada baiah berkenaan.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, isu baiah itu kini dikritik NGO dan tokoh wanita yang boleh menghakis keyakinan masyarakat wanita terhadap PAS serta tidak baik untuk masa depan politik PAS yang memerlukan sokongan pengundi wanita.

“Saya mengharapkan saranan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dipertimbang sebaiknya oleh pimpinan dan ahli PAS. Uruslah isu ini dengan hikmah bukannya dengan perasaan bebal.

“Kepada sahabat karib saya YB Dr Hatta banyaklah bersabar menghadapi ujian dan cabaran perjuangan. Saya yakin dengan saudara akan terus istiqamah dengan Islam. 

"Kepada isteri dan anak menantu Dr Hatta tabahlah menghadapi cabaran kehidupan. Janji Allah tetap benar, selepas kesedihan akan ada kegembiraan dan selepas kepayahan akan ada kemudahan,” kata bekas Pesuruhjaya PAS Kedah yang turut digugurkan dari jawatan tersebut oleh PAS Pusat.

Semalam, Tuan Ibrahim menggesa semua pihak khususnya ahli PAS yang menyertai PPM supaya berhenti daripada mempolemikkan isu baiah talak tiga ke atas isteri masing-masing dan menyerahkan kepada pihak berkuasa agama dalam menentukan hukum. 

Mahfuz yang sebelum ini digembar-gemburkan bakal menyertai parti baru pimpinan Mat Sabu itu telah mengumumkan dirinya kekal di dalam PAS meskpun beliau dikatakan sebahagian dari golongan pemimpin progresif PAS yang ditolak pada pemilihan parti itu. -Kedahnews.com