Masih Tiada Sebarang Kes Dilapor Berkaitan MERS-CoV Babit Jemaah Haji

Gambar Hiasan - Sebahagian dari tetamu Allah yang terpilih pada tahun ini
ALOR SETAR – Belum ada sebarang kes penyakit Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV) dalam kalangan jemaah haji dilaporkan setakat ini.

Pengerusi Tabung Haji Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pihaknya sentiasa memantau rapi tahap kesihatan para jemaah melalui petugas di Tanah Suci khususnya daripada pasukan perubatan.

“Walaupun cuaca panas, kita ada petugas-petugas yang proaktif dan mereka ada pengalaman sejak tahun-tahun lepas mengenai MERS-CoV,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan zakat perniagaan di Istana Anak Bukit di sini hari ini.

Katanya setakat ini, hanya dua kematian dicatatkan melibatkan jemaah negara iaitu dua wanita masing-masing dari Pahang dan Ampang, Selangor yang berpunca daripada serangan jantung.

Abdul Azeez berkata sehingga hari ini, hampir 13,000 jemaah haji negara telah selamat sampai ke Tanah Suci dan kira-kira 8,000 lagi jemaah sedang dalam perjalanan.

“Penerbangan terakhir pada 17 Sept ini, keseluruhannya terdapat 64 penerbangan ke Tanah Suci,” katanya.

Jumlah keseluruhan jemaah haji Malaysia yang akan menunaikan ibadah haji musim 1436H ialah seramai 22,320 jemaah.

Terdahulu, Lembaga Tabung Haji menyerahkan wang zakat perniagaan sebanyak RM3,977,165.86 bagi tahun 2014, kepada Jabatan Zakat Negeri Kedah.

Ia disampaikan Abdul Azeez kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Anak Bukit.

Pembayaran zakat perniagaan bagi negeri Kedah mencatatkan peningkatan sebanyak RM208,037.73 (5.5 peratus) berbanding RM3,769,128.13 pada 2013. – BERNAMA