Mayat Tepi Lebuhraya Di Kg Padang Satu Disahkan Warga Singapura - PDRM Kedah


ALOR SETAR - Polis mengesahkan mayat dijumpai di tepi Lebuhraya Utara Selatan menuju ke Bukit Kayu Hitam berhampiran Kampung Padang Satu, Ahad lepas ialah warganegara Singapura berusia 52 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, hasil proses bedah siasat dijalankan oleh pihak hospital menunjukkan mangsa mati akibat luka tetakan.

"Motif pembunuhan masih disiasat dan setakat ini tiada tangkapan dibuat.

Siasatan diteruskan," katanya kepada pemberita menerusi aplikasi WhatsApp di sini, hari ini.

Pada 9.30 pagi Ahad lepas, polis menerima maklumat daripada orang awam tentang penemuan mayat seorang lelaki di kawasan terbabit dengan kesan tetakan di bahagian dahi, belakang kepala dan kedua-dua tangannya.

Polis yang bergegas ke lokasi kejadian bagaimanapun hanya menemukan sebuah  telefon bimbit dan segugus kunci tanpa sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat itu.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama