MDKP Mula Laksana Sistem Parkir Berbayar Di Jitra 2, Bandar Darulaman


ALOR SETAR - Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) melaksanakan sistem parkir berbayar untuk menangani kesesakan di kawasan tempat letak kenderaan berkaitan.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam MDKP, Zainal Abidin Muhamad berkata, sistem berkenaan turut diguna pakai bagi memberi keselesaan terhadap pengguna.

“Dengan sistem parkir berbayar, pengguna kenderaan di kawasan tumpuan utama berkenaan dapat memarkir kenderaan masing-masing dengan lebih selesa.

“Antara kawasan terlibat perlaksanaan sistem parkir berbayar adalah Pekan Jitra 2 (PJ 2) dan Bandar Darulaman,” katanya.

Zainal Abidin berkata, pihaknya merasakan sistem parkir berbayar dapat memberi peluang kepada pengguna berurusan dengan selesa.

Katanya, sistem parkir berbayar diwartakan di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Mengenai Tempat Letak Kereta) (MDKP) 2007 dan berkuat kuasa pada 20 Disember 2007.

"Terdapat segelintir pengguna meletakkan kenderaan di luar petak parkir atau memarkir kereta melebihi masa ditetapkan.

"Disebabkan itu MDKP terpaksa mengeluarkan kompaun kepada pemilik kenderaan terlibat dan seterusnya tindakan mahkamah diambil oleh pihak majlis," katanya.

Dalam perkembangan lain, MDKP turut memberi tumpuan kepada kesalahan tegar pemilik kenderaan misalnya memiliki nilai tunggakan kompaun tinggi.

Menurutnya, dalam satu kes pada 15 September 2015, Mahkamah Majistret Jitra menjatuhkan hukuman denda RM200 bagi setiap kesalahan dilakukan seorang pemilik sebuah kenderaan.

“Pemilik kenderaan terbabit didakwa tidak membayar caj letak kereta di kawasan PJ 2 dan gagal menjelaskan bayaran kompaun dikenakan bagi kesalahan dilakukannya,” katanya.

Sumber: Sinar Harian