Mesir Banjirkan Terowong Sinai - Gaza, Cegah Seludup Senjata Pejuang Palestin

AIR bertakung selepas terowong dibanjirkan.
Sinai - Tentera Mesir dilapor telah membanjirkan terowong yang didakwa sering digunakan untuk kegiatan menyeludup di sempadan Gaza-Mesir di Rafah, baru-baru ini.

Tindakan itu didakwa adalah sebagai sebahagian dari usaha pihak berkuasa negara itu untuk mengekang kegiatan kumpulan pejuang pembebasan Palestin yang dilabel sebagai "pengganas".

Kerajaan Mesir berkata, terowong yang sengaja dibanjirkan itu adalah dari Sinai ke Semenanjung Gaza dan digunakan oleh kumpulan berkenaan untuk menyeludup senjata antara wilayah Palestin yang terkepung itu.

Tentera Mesir dikatakan telah mengepam air dari Laut Mediterranean ke dalam paip bawah tanah terowong merentas sempadan itu dalam usaha menghalang penggunaannya sama sekali.

Mesir mula mengumumkan rancangan membanjirkan kawasan itu sebulan lalu dan kini merancang mengubahnya menjadi 18 kolam ternakan ikan di sepanjang sempadan 13 kilometer dengan Gaza itu.

Semenanjung Gaza yang dikuasai Hamas dikepung oleh Mesir dan Israel sejak 2007, kononnya untuk menghalang kumpulan militan di Semenanjung Sinai untuk mengimport senjata.

Semenanjung Sinai ialah kubu kumpulan militan yang dikatakan mempunyai hubungan dengan Negara Islam (IS).

Bagaimanapun, penduduk Sinai berkata, mereka bergantung kepada perdagangan secara menyeludup menerusi terowong itu untuk hidup kerana tidak dipedulikan kerajaan Mesir sejak sekian lama.

Kerajaan Mesir kini dilapor menguatkuasakan undang-undang menghukum penjara seumur hidup ke atas mereka yang didapati bersalah kerana menyeludup. -Kedahnews.com