Mesyuarat MT UMNO: Tiada Agenda Pecat Sesiapa, Cuma Spekulasi Semata-Mata

Air dicincang takkan putus, bagaikan aur dengan tebing
KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, menegaskan bahawa pemecatan beberapa pemimpin parti sememangnya tiada di dalam agenda mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang dipengerusikan beliau sebentar tadi. 

Najib yang juga Perdana Menteri berkata, dakwaan akan berlaku pemecatan semasa mesyuarat hari ini hanyalah spekulasi semata-mata.

"Tiada dalam agenda mesyuarat berhubung pemecatan pemimpin UMNO," katanya pada sidang media sejurus mesyuarat itu di Menara Dato Onn di sini. 

Hadir sama, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein. 

Sebelum mesyuarat MT hari ini, timbul spekulasi bahawa beberapa pemimpin UMNO, termasuk Muhyiddin dan Shafie Apdal, akan dipecat. 

Namun, spekulasi pemecatan yang tersebar sejak beberapa hari lalu itu dinafikan pemimpin kanan UMNO. 

Najib berkata, pada mesyuarat MT UMNO hari ini, Muhyiddin dan Shafie melahirkan komitmen dan kesanggupan untuk bekerja demi kepentingan parti. 

Katanya, apa yang penting ketika ini adalah setiap pemimpin perlu memberi fokus kepada perjuangan dan solidariti parti. 

"Bagi masa...kalau kita sudah buat komitmen kita mesti amalkan dengan tindakan (yang akan) kita (lakukan). 

"Ucapan kita mesti menjurus kepada solidariti parti dan setiap pemimpin sudah ada komitmen masing-masing," katanya.

Sebelum ini tersebar secara meluas desas-desus dari pihak tertentu di laman sosial yang mendakwa kononnya Muhyiddin, Shafie, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Menteri Besar Johor, Datul Seri Khaled Nordin dan beberapa pemimpin UMNO akan dipecat.

Turut dipercayai desas-desus itu sengaja disebarkan pihak tersebut bagi mencetus kebencian ahli, penyokong dan rakyat terhadap UMNO, terutama kepada kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. - Kedahnews.com

Sumber Asal: Berita Harian