Mi Goreng RM2.50, Tak Pernah Naik Harga Sejak 30 Tahun!

Abdul Karim Pakir yang sudah menjangkau usia 92 tahun.
Bagi sesetengah orang, agak tidak lengkap kunjungan mereka ke Pulau Pinang jika tidak merasai sendiri keenakan mi goreng berharga RM2.50 di Lorong Tamil berdekatan Kompleks Pasar Chowrasta, George Town.

Itulah yang boleh disimpulkan oleh para pengunjung yang pernah menikmati mi goreng tersebut.

Apa tidaknya jika harga mi goreng tersebut bukan sahaja murah, malah sedap dan mempunyai kuantiti yang banyak.


Lebih mengejutkan, mi goreng di Lorong Tamil ini dijual dan dimasak sendiri oleh seorang warga emas, Abdul Karim Pakir yang sudah menjangkau usia 92 tahun.

“Saya sakit-sakit badan kerana sudah tua tetapi saya masih boleh goreng mi lagi,” kata Karim yang tinggal di Jalan Makloom bersama anak perempuannya.


Bercerita mengenai perniagaanya, Karim memberitahu dia telah meniaga di situ sejak lebih 30 tahun lalu dan harga bagi sepinggan mi gorengnya masih kekal RM2.50 sejak dari awal dia berniaga.

“Saya hanya perlu sedikit keuntungan. Mengapa saya perlu mengenakan caj begitu banyak? Saya tidak perlu membayar kepada sesiapa kerana semuanya saya buat sendiri.

“Saya menaiki bas ke gerai saya setiap pagi di sini. Saya biasanya buka gerai dari pukul 11 pagi hingga 10 malam,” ujarnya yang dipetik dari mStar.


Menurut Karim, sebelum ini dia menjual laksa di Esplanade kira-kira 40 tahun lalu namun mengambil ambil keputusan untuk menutup kedai kerana kekurangan pelanggan.

Bagaimanapun, minatnya terhadap masakan diteruskan apabila dia menjual mi goreng yang kekal hingga hari ini.

Untuk maklumat, Karim berasal dari India dan datang berhijrah ke Tanah Melayu pada tahun 1947. -Kedahnews.com