Minum 3 Cawan Teh Hijau Setiap Hari, Gadis Terpaksa Tanggung Azab

Gambar Hiasan
London - Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dipercayai mengalami jangkitan hepatitis selepas minum tiga cawan teh hijau setiap hari untuk tiga bulan dalam usaha menurunkan berat badan.

Gadis itu pada mulanya mengadu pening, mual serta sakit perut dan sendi menyebabkan doktor yang merawatnya menyangka dia mengalami masalah jangkitan pada saluran kencing dan memberinya antibiotik.

Bagaimanapun, keadaannya semakin teruk dua hari kemudian sebelum dia mendapat rawatan kecemasan di Hospital Universiti Birmingham.

Ketika itu, remaja berkenaan mula menunjukkan tanda sakit kuning dan akhirnya didiagnos mengalami hepatitis atau bengkak hati yang boleh disebabkan virus atau bahan berbahaya seperti alkohol.

Gadis yang berasal dari Yaman itu tidak mengambil dadah atau alkohol, tetapi mengaku membeli teh hijau di Internet tiga bulan sebelumnya untuk menguruskan badan.

“Kebanyakan bahannya ditulis dalam bahasa Cina. Memang saya berjaya menurunkan sedikit berat badan, tetapi mula mengalami pening dan mual,” kata gadis itu yang tidak dinamakan.

Masalah kesihatannya beransur pulih selepas berhenti minum teh berkenaan.

Menurut doktor, walaupun teh hijau terbukti mempunyai banyak manfaat, penambahan bahan kimia dalam teh dibeli gadis berkenaan mungkin menyebabkannya tercemar.

“Ada juga kemungkinan dia dijangkiti hepatitis akibat racun serangga digunakan,” kata laporan mengenai kes itu. -Agensi