KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Razak tegas dengan keputusan dan pendirian asalnya mahu isu dihadapi 1Malaysia Development Bhd (1MDB) diselesaikan dalam tempoh enam bulan.
Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO akui ketika ini ada beberapa perkara yang perlu ditangani segera supaya dapat memberi kepuasan serta mengurangkan kebimbangan rakyat, termasuk isu dana RM2.6 bilion.
Beliau menzahirkan iltizam itu pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato' Onn, di sini, hari ini, sebagai menjawab dakwaan bertali arus pelbagai pihak kononnya kedua-dua isu berkenaan cuba ditutup dan tidak diambil peduli kerajaan.
"Ada beberapa perkara yang perlu ditangani supaya dapat memberi kepuasan kepada rakyat termasuk soal 1MDB iaitu soal kedudukan semasa dan kita sekarang sedang dalam edah enam bulan yang sudah saya mohon. Ia bagi mengurangkan hutang 1MDB dan beberapa proses rasionalisasi.
"Sekarang kita dapat tawaran yang menggalakkan tetapi saya tidak boleh jelaskan kerana masih dalam proses 'dua diligence' (penelitian). Saya akan umumkan secara rasmi kelak.
"Begitu juga dengan dana rasmi yang mana tiada undang-undang berhubung dana politik dan pendedahan yang perlu dibuat mengenainya," katanya.
Najib menjelaskan, dana politik ketika ini turut digunakan pembangkang, namun beliau kesal kerana ia hanya dispekulasi dan dipersoal apabila membabitkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
"Semua parti guna kutipan dana termasuk pembangkang, malah Bersih 4 bila orang tanya, mereka enggan mendedahkan daripada sumber mana mereka dapat.
"Bila sampai kepada kita, macam-macam persoalan dibangkitkan. Kita tidak boleh 'double standard'. Empat tahun dulu saya pernah cadangkan kaedah yang sesuai tetapi tidak dipersetujui oleh pembangkang," katanya.
Justeru, Najib berharap pada masa akan datang dapat dilaksana kaedah bersesuaian bagi mengawal dana dan sumbangan politik. -Berita Harian