Mohd Najib, Rakyat Malaysia Kecam Serangan Israel Terhadap Masjid Al-Aqsa


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menzahirkan kecaman keras Kerajaan Malaysia terhadap pencabulan Israel ke atas Masjid Al-Aqsa serta cubaan memisahkan tempat ibadah umat Islam itu.

Penduduk Palestin dilaporkan khuatir tentang usaha Israel untuk menukar peraturan di tempat ibadah itu termasuk usaha memisahkan bahagian dan ruang masjid antara umat Islam dan penduduk Yahudi.

Menurut Najib, perkara itu dibangkitkan dalam perbualan telefon dengan Ketua Biro Politik Hamas, Khaled Meshaal.

“Dalam panggilan telefon itu, saya menegaskan bahawa Malaysia akan tetap berdiri teguh bersama rakyat Palestin dalam menghadapi dan menentang pencerobohan serta kekejaman rejim Zionis.

“Semoga mereka diberi kekuatan oleh Allah SWT,” kata perdana menteri dalam catatan di laman Facebooknya.

Menurut laporan media antarabangsa, kekerasan anggota keselamatan Israel ke atas penduduk Palestin di Masjid Al-Aqsa yang bermula Ahad lepas menjurus kepada ramai yang cedera dan ditangkap. – BERNAMA