Datuk Abdul Rahman Dahlan |
KUALA LUMPUR – Gesaan sesetengah pihak supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan adalah tidak adil memandangkan siasatan yang sedang dijalankan berkaitan dana RM2.6 bilion masih belum selesai.
Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, masyarakat perlu menghormati perdana menteri, yang secara peribadi membuat permintaan supaya siasatan itu dijalankan, suatu tindakan yang mencerminkan keterbukaan dan ketelusan.
“Saya tidak fikir perdana menteri perlu tunduk kepada tekanan… kita perlu tunggu sehingga siasatan selesai, dan jangan lupa hakikat bahawa beliau sendiri turut meminta agar siasatan dijalankan,” katanya pada sidang akhbar ketika melakukan lawatan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari, di sini hari ini.
Abdul Rahman, yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, menyelar penghasut yang akan membangkitkan tuduhan baharu selepas tuduhan mereka sebelum itu didapati tidak benar.
“Masyarakat lupa bahawa dakwaan asal oleh WSJ (Wall Street Journal) adalah dana RM2.6 bilion daripada 1MDB (1Malaysia Development Berhad), justeru ia adalah wang rakyat. Tetapi walaupun perdana menteri menafikan dan SPRM kemudian menyatakan ia bukan daripada 1MDB, pihak yang menuduh ini bukan sahaja tidak meminta maaf, mereka malah terus membangkitkan dakwaan baharu,” katanya.
Abdul Rahman turut menolak percubaan mengadakan undi tidak percaya terhadap perdana menteri dengan berkata Najib tidak akan terjejas dengan percubaan itu.
“Saya tidak fikir undi tidak percaya akan berbangkit sama sekali… bagaimanapun, sekiranya ada, kami percaya perdana menteri akan bertahan dengan jayanya,” katanya, dan menambah, sokongan anggota parlimen dari Sabah dan Sarawak terhadap perdana menteri tetap kukuh.
Mengenai khabar angin pemecatan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana menentang kepimpinan parti, Abdul Rahman berkata keadaan itu akan lebih menjejaskan parti.
“Di sudut hati saya, saya tidak fikir ia akan berlaku… saya tidak dipanggil untuk membincangkannya (perkara itu). Namun secara peribadi, saya rasa ia bukanlah langkah yang bijak,” katanya. – BERNAMA