Bagi mereka yang suka pada perpaduan dan penyatuan umat Islam berbangsa Melayu yang dikatakan berpecah-belah akibat ketaksuban agenda fahaman politik yang berlaku berpuluh tahun sebelum ini, mereka amat terkesan dengan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menziarah Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din yang kini sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Sejak dari semalam, laporan mengenai ziarah tersebut viral tersebar di laman-laman media sosial di seluruh negara.
Perkara tersebut yang mengejutkan pelbagai pihak turut dikongsikan bersama oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan menerusi di laman Twitter dan Facebook milik beliau, pada tengah hari Sabtu.
“YAB PM sempat melawat Dato Ustaz Haron Din di IJN sebentar tadi (19/9/15). Didoakan moga segera sembuh, Insya’Allah,” tulis ringkas Ahli Parlimen BN kawasan Pontian itu.
Melihat gambar yang dimuat naik Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, Haron dan Najib masing-masing dilihat agak santai duduk bersebelahan di kerusi sambil tersenyum mesra.
Menurut laporan portal berita tempatan, mStar Online, Haron, 74 tahun; dimasukkan ke Unit Rawatan Komprehensif IJN berikutan masalah komplikasi jantung yang dihidapi sejak Khamis lalu.
Memang kelaziman Presiden UMNO itu melawat pemimpin PAS yang menerima rawatan termasuk bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Mohd Najib ketika menziarahi Ustaz Haron yang pernah dimasukkan ke IJN sebelum ini. - Gambar fail |
Bagaimanapun kunjungan Najib terhadap Haron dilihat kebanyakan pemerhati politik tanah air agak signifikan selepas kejayaan Himpunan Rakyat Bersatu sempena peristiwa Hari Malaysia pada 16 September lalu.
Perhimpunan yang dikenali juga sebagai Baju Merah mendapat sambutan di luar dugaan apabila disertai lebih 200,000 peserta majoritinya Melayu dengan agenda untuk mempertahankan maruah kaum pribumi itu.
Ia juga sebagai tindak balas kebiadapan 20,000 peserta Bersih 4.0 yang menghina pemimpin Melayu dan tidak menghormati acara kemerdekaan yang dijadualkan di Dataran Merdeka ketika itu. -Kedahnews.com