Mualaf Di Bandar Baharu Risau Masa Depan Keluarga Kerana Diabai Suami

Nur buntu memikirkan masa depan anak-anak kerana suaminya sering mengabaikan mereka.
BANDAR BAHARU - Seorang wanita yang buntu apabila dirinya sering diabaikan suami setelah 15 tahun mendirikan rumah tangga.

Hanya mahu dikenali sebagai Nur, 43, berkata, dia berasal dari Indonesia dan  memluk Islam sejak 2000 kerana ingin bernikah dengan suaminya, warga tempatan.

Menurutnya hasil perkongsian hidup, dia kini dikurniakan empat anak iaitu seorang lelaki dan tiga perempuan.

“Kami berkahwin atas dasar suka sama suka, saya kenali suami sejak 2000 terus bernikah di Indonesia dan daftar ke sini.

“Saya korbankan segalanya termasuk memilih agama yang dianuti suami iaitu Islam, saya sangka saya akan bahagia dengan bimbingan suami. Tapi kini suami jarang pulang ke rumah, alasan kerana bekerja. Wang belanja kadang diberi dan tak ada,” katanya kepada Sinar Harian.

Nur berkata, pendapatannya bekerja sebagai pembantu di kedai makan tidak mampu menampung perbelanjaan sekolah dan harian.

“Pendapatan saya RM20 sehari, tapi kalau tak kerja saya tak ada gaji. Bila saya keluar kerja anak-anak terpaksa ditinggalkan di rumah sendirian kerana nak hantar mengasuh tidak mampu,” katanya.

Malah Nur berkata, dengan keadaan suaminya sekarang yang tidak ambil tahu langsung hal keluarga menyebabkan dia buntu memikirkan masa depan mereka.

Sumber: Sinar Harian