Filem kontroversi termahal Iran yang bertajuk "Muhammad" |
Riyadh - Mufti besar Arab Saudi Abdul Aziz Al-Sheikh semalam menyelar filem Iran, ‘Muhammad’ semalam yang dianggapnya menyelewengkan kisah Nabi Muhammad (SAW) dan agama Islam.
Filem paling mahal Iran itu - yang mula ditayangkan di republik Syiah berkenaan minggu lalu - memaparkan ‘Nabi Muhammad (SAW)’ walaupun tidak menunjukkan wajahnya secara langsung.
“Ia hasil kerja yang menjijikkan dan menyeleweng. Satu tindakan yang menghina dan menjatuhkan martabat serta maruah Rasulullah (SAW),” katanya.
Liga Muslim Dunia turut mengkritik filem berkenaan dan menegaskan memaparkan Rasulullah (SAW) adalah perbuatan yang dilarang keras.
Setiausaha Agungnya Abdullah al-Turki turut mengharamkan penyiaran filem berkenaan selain menggesa umat Islam memboikotnya.
Filem arahan Majid Majidi selama 171 minit itu menelan belanja AS$40 juta (RM169 juta) yang sebahagiannya dibiayai kerajaan Iran.
Ia mengambil masa lebih tujuh tahun untuk disiapkan.
Majid berkata filem itu - bahagian pertama dalam trilogi mengenai Rasulullah (SAW) - bertujuan memperbaiki imej Islam yang dianggapnya ‘dirosakkan’ golongan pelampau. - AFP