Mukhriz Perlu Berjaya Kendali Kerenah Ketua Bahagian, Barulah Mantap - Penganalisis

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir 
ALOR SETAR - Kestabilan politik UMNO Kedah penting demi survival dan terus kekal memerintah negeri ini pada PRU14.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, pola persepsi rakyat dan pengundi Kedah adalah bergantung rapat dengan soal pemantapan Umno, pengundi muda serta imej pentadbiran Menteri Besar.

“Spekulasi politik memang sering wujud termasuk dalam soal nasib Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam suasana politik semasa.

“Tetapi soal yang paling utama ialah untuk membina survival yang kukuh bagi Umno dan BN Kedah menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, pengukuhan jentera parti dan keyakinan akar umbi UMNO dalam menghadapi pelbagai spekulasi politik adalah paling utama.

“Kedudukan jawatan penting seperti menteri besar, exco kerajaan negeri dan anggota badan perhubungan Umno negeri amatlah sensitif dan boleh berlaku perubahan pada bila-bila masa.

“Ia adalah hak perdana menteri dan parti. Paling utama ialah apa sahaja rombakan atau perubahan akar umbi harus dilihat juga kepada reaksinya,” katanya.

Beliau berkata, Kedah juga adalah antara negeri yang agak sensitif dari segi perubahan politik kerana mengikut senario semasa, pembangkang berpotensi menang tipis untuk membentuk kerajaan.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib
“Jika banyak isu berlaku membabitkan parti, negeri dan pemimpin berkenaan, maka arus pola persepsi ini akan mempengaruhi keputusan pilihan raya nanti.

“Saya melihat apa yang berlegar di Kedah isunya sudah jauh berbeza dari situasi di era 1990-an dahulu. Kini adalah era suara rakyat Kedah yang tahu bahawa pola kuasa kerajaan pusat juga bergantung rapat dengan kedudukan politik dan kemenangan di Kedah,” katanya.

Penganalisis  politik itu juga berpendapat Kedah adalah negeri penentu keutuhan kerajaan pusat sama status dengan Sabah dan Sarawak yang dilihat sebagai tiang seri BN masa kini.

“Paling utama saya lihat dalam politik UMNO Kedah ialah kebolehan seseorang pengerusi UMNO negeri yang juga Menteri Besar mengendalikan perangai dan kerenah ketua serta kepimpinan bahagian.

“Ketua bahagian dan wakil rakyat UMNO Kedah ada pelbagai sikap yang berbeza. Mengawal dan menguruskan ketua bahagian adalah suatu perkara yang cukup unik dan perlu kemahiran tersendiri,” katanya.

Ini kerana kemampuan mengawal ketua bahagian dan kepimpinannya akan memantapkan lagi pengurusan UMNO negeri.

“Dalam situasi semasa hari ini, apa sahaja boleh berlaku termasuk naik turun seseorang dari jawatan disandangnya.

“Masing-masing mempunyai pro dan kontra. Tetapi jika transisi itu berlaku dengan baik maka Kedah akan kekal aman,” katanya.

Sumber: Sinar Harian