Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan |
KUALA LUMPUR - Baru-baru ini negara digemparkan sekali lagi dengan dokumentari kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.
Dokumentari tersebut disiarkan menerusi sebuah stesen televisyen antarabangsa Al Jazeera dalam program mingguannya, 101 East.
Susulan laporan dokumentari kontroversi tersebut, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tampil mengadakan sidang media mendedahkan siasatan berkenaan pembunuhan bekas model tersebut.
"Waktu itu (sewaktu kes Altantuya mula disiasat) saya merupakan Ketua Polis Negara, jadi hari ini saya terpanggil untuk mengadakan sidang media berkenaan perkara tersebut. Saya pantau penyiasatan-penyiasat yang dilakukan oleh pegawai-pegawai saya.
"Siasatan kes Alttanntuyya bermula daripada laporan orang hilang di mana kita menerima laporan yang menyatakan seorang wanita Mongolia bernama Altantuya telah hilang. Dari situ saya meminta pegawai saya untuk membuka siasatan ke atas kes orang hilang," katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Kata Musa, beliau memaklumkan ketua siasatan jenayah bahawa siasatan perlu dilakukan dengan teliti memandangkan mangsa adalah seorang pelancong.
Pada masa itu, kemungkinan orang yang hilang boleh menjadi sebahagian daripada mangsa jenayah.
Menurutnya lagi, selepas siasatan dijalankan, beliau dimaklumkan Altantuya telah membuat laporan polis di Balai Polis Brickfields sebelum menghilangkan diri.
"Laporan tersebut menyebut bahawa mangsa diganggu dan diugut seseorang dan individu tersebut perlu dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dingini berlaku pada diri mangsa. Nama individu tersebut juga disebut dalam laporan tersebut.
"Sepertimana yang kita tahu, individu tersebut yang dikenali sebagai Abdul Razak Baginda telah disiasat oleh pihak berkuasa. Hasil siasatan mendapati dua pegawai polis terlibat dengan kes kehilangan Altantuya," tambah beliau.
Musa Hassan ketika menjawat jawatan Ketua Polis Negara |
Ujar Musa lagi, berdasarkan maklumat dan keterangan saksi yang dikumpulkan, mangsa dibawa ke suatu tempat di Bukit Cherakah.
Setelah disiasat, polis telah mengenal pasti dua bekas pegawai polis tersebut yang pada waktu itu sedang bertugas mengiringi bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ke luar negara.
"Saya mengarahkan dua belas pegawai tersebut pulang dengan mengatakan ada tugas khas untuk diberi sebaik mereka pulang ke negara. Saya mengarahkan dua bekas pegawai terbabit ditangkap untuk disiasat.
"Sebaik sahaja Tun Abdullah pulang ke negara ini, saya telah memberikan penerangan terhadap apa yang berlaku dan siapa yang terlibat dalam kes ini," katanya.
Menurut Musa, pada masa itu polis masih tidak tahu bahawa Altantuya sudah dibunuh dan kes tersebut disiasat dibawah orang hilang.
"Pada masa itu kita juga mengesahkan bahawa kita ingin menahan Abdul Razak Baginda.
"Tun Abdullah pada masa itu meminta saya menerangkan kepada Timbalan Perdana Menteri (pada masa itu Datuk Seri Najib Tun Razak) tetapi saya katakan tidak perlu kerana kes-kes seperti ini hanya perlu diberi penjelasan pada Perdana Menteri sahaja," jelasnya lagi.
Musa bagaimanapun menghubungi Najib untuk mengadakan pertemuan atas arahan Tun Abdullah.
"Saya beritahu Timbalan Perdana Menteri bahawa pihak berkuasa ingin menahan Abdul Razak Baginda di atas penglibatannya dalam kes tersebut. Timbalan Perdana Menteri pula kata "Do your job!" Bermakna saya buat kerja saya.
"Daripada siasatan yang dijalankan, kami dapat tahu mangsa ini dibunuh dan mayatnya diletupkan. Mereka bertiga dihadapkan ke mahkamah," kata Musa lagi.
Beliau dalam pada itu turut menegaskan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah terlibat dengan pembunuhan bekas model tersebut.
"Saya kesal dengan laporan media yang masih mengaitkan perdana menteri (Najib) dengan Altantuya. Jadi saya terpanggil untuk mengadakan sidang media berkenaan perkara tersebut," katanya lagi.
Sumber: Sinar Harian