Najib Ucap Takziah Pada Keluarga Morais, Gesa PDRM Siasat Segera


ALOR SETAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengecam keras pembunuhan kejam yang dilakukan terhadap Timbalan Pendakwa Raya, Kevin Anthony Morais, yang mayatnya baru ditemui semalam.

Mengucapkan takziah kepada keluarga Morais, Perdana Menteri turut menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan segera dan menyiasat kes berkenaan secara terperinci.

"I strongly condemn the outrageous murder of DPP Kevin Morais. Condolences to his fmly. @PDRMsia must take swift action & invstigte this case," kata Mohd Najib menerusi laman sosial Twitternya, lewat malam semalam.


Mayat mendiang dilaporkan telah ditemui pihak berkuasa dalam keadaan terbenam berkonkrit di dalam sebuah tong dram di USJ 1, Subang Jaya, 12 hari selepas beliau dilaporkan hilang.

Sebelum itu, pihak berkuasa turut mengesahkan bahawa seramai 7 orang, termasuk seorang doktor tentera telah ditahan untuk membantu siasatan kes sehari sebelum mayat Morais ditemui.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Persekutuan Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, suspek utama membawa polis ke kawasan paya itu, di mana tong yang mengandungi jasad Morais dibuang.

"Kami percaya ia ada kaitan dengan kes di mahkamah Shah Alam di mana Morais terlibat. Suspek itu terbabit dalam kes rasuah yang mana Morais merupakan pendakwanya," katanya kepada pemberita di tempat kejadian, semalam.

Morais, yang bertugas dengan Jabatan Peguam Negara, dilaporkan hilang pada Jumaat, 4 September lalu selepas dia meninggalkan kediamannya di Menara Duta untuk keluar bekerja. -Kedahnews.com